Categories
NASIONAL

Bajet 2015: Kerajaan sembunyi hutang sebenar disebalik penurunan defisit

SHAH ALAM 11 OKT: Kerajaan Pusat sebenarnya menyembunyikan jumlah hutang dan perbelanjaan besar yang tidak dimasukkan dalam belanjawan di sebalik penurunan defisit kepada tiga peratus dalam Belanjawan 2015.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, berbanding angka dibentangkan, tipu-helah yang berlaku di sebaliknya adalah lebih membimbangkan.

pix-for-wawancara-tony-pua-DALAM1“Angka dilihat nampak bagus sebenarnya menutup hakikat bahawa kebanyakan perbelanjaan berkaitan kerajaan dibuat di luar kerangka belanjawan.

“Ini bermakna kerajaan ada ruang untuk memanipulasi perakaunan inovatif (bagi menyembunyikan angka sebenar) untuk terus berbelanja besar dan menghabiskan berbilion ringgit dengan hutang tambahan, tanpa mengubah peratusan defisit dalam belanjawan rasmi,” kata Tony Pua dalam kenyataan media.

Tony Pua berkata, ia dapat dilihat melalui tahap ‘beban bergantung’ (contingent liability) melalui hutang oleh syarikat milik kerajaan.

“Ini merujuk kepada hutang tersembunyi yang tidak termasuk dalam hutang rasmi, tetapi kerajaan bertindak sebagai penjamin kepada hutang tersebut,” katanya.

Tambah Tony Pua, hutang itu meningkat dari RM84.3 bilion pada 2009 ketika Najib mula menjadi Perdana Menteri, kepada RM157.5 bilion sehingga Disember 2013.

Bermakna, hutang tersembunyi kerajaan meningkat sebanyak 86.8 peratus sepanjang Najib mula mengetuai pentadbiran negara.

Katanya, angka itu dijangka bertambah berikutan pelbagai projek infrastruktur yang dikendalikan syarikat milik kerajaan seperti MRT Corp dan Syarikat Prasarana Negara Bhd.

Tahun lalu, kerajaan menjamin RM6.5 bilion untuk projek pembinaan MRT, yang mencatat peningkatan daripada jangkaannya pada 2012, iaitu RM2.4 bilion.

“Malah ia dijangka akan meningkat tahun ini kerana kos fasa pertama MRT yang masih berlangsung sahaja melebihi RM22 bilion,” kata Tony Pua.

Katanya, peningkatan besar dalam ‘beban bergantung’ menunjukkan peratusan defisit dalam belanjawan rasmi jauh berbeza daripada defisit sebenar yang ditanggung.

“Ia juga menunjukkan perwakilan yang salah (under-representation) tentang hutang tersembunyi, kerana kebanyakannya secara tersirat dijamin oleh kerajaan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.