Categories
NASIONAL

Buktikan Malaysia layak di PBB dengan hapus Akta Hasutan

SHAH ALAM 18 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu membuktikan Malaysia layak sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dengan memulakan langkah memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Gooi Hsiao Leung berkata beliau mengalu-alukan pelantikan Malaysia di kerusi itu.

Akta HasutanKatanya, cabaran pada masa hadapan adalah membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia layak menduduki kerusi berkenaan.

“Tugas pertama yang perlu dilakukan adalah membersihkan rekod dengan menghormati janji yang dibuat pada 2012 untuk memansuhkan Akta Hasutan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkaya pemerhati antarabangsa baru-baru ini mempersoalkan keupayaan Malaysia dalam menangani isu keganasan dan hak asasi manusia.

“Persepsi negatif terhadap Malaysia adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh rekod hak asasi manusia yang buruk di negara ini,” katanya.

Beliau merujuk kepada laporan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) yang baru-baru ini mengkritik kerajaan Malaysia kerana menggunakan Akta Hasutan untuk “menjenayahkan perbezaan pendapat” dan menghalang kebebasan bersuara.

“Dunia sedang memerhatikan kita. Bagaimana kita dapat meyakinkan mereka bahawa kita boleh mengambil isu-isu kritikal, untuk bersama masyarakat antarabangsa terhadap ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia,” katanya.

Malaysia memperoleh 187 undi daripada 193 negara anggota yang menyertai proses pengundian secara sulit di New York, Amerika Syarikat pada Khamis lalu.

Pertama kali Malaysia menduduki kerusi itu adalah pada sesi 1989-1990 dan seterusnya pada penggal 1999- 2000.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.