Categories
SELANGOR

Hari Mesra Pelanggan peluang orang ramai kenali PKNS

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM, 19 OKT: Hari Mesra Pelanggan 2014 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam City Center (SACC) Mall berlangsung meriah semalam, dengan kehadiran ratusan orang awam.

Kebanyakan mereka yang mengunjungi program tersebut memuji dan berpuas hati dengan pendekatan PKNS menyantuni pelanggannya.

PKNSJurutera, Azhar Johari, 37 berkata program seumpama itu membolehkan orang awam mengetahui pelbagai jenis unit hartanah yang sedang ditawarkan dan bakal ditawarkan PKNS.

“Harga yang ditawarkan PKNS untuk setiap jenis hartanah sangat berpatutan dan munasabah bagi setiap kelas gaji.

“Program hari ini juga banyak memberi pendedahan kepada pelanggan bagaimana cara dan syarat untuk memiliki rumah yang ditawarkan,” jelasnya kepada Selangor Kini.

Pesara, Bidah Mat A’il, 62 berkata program tersebut membantu orang awam mengetahui maklumat yang terperinci sebelum membuat pertimbangan membeli mana-mana unit hartanah yang ditawarkan.

“Kita dapat lihat dengan lebih dekat dan mudah tanpa perlu ke PKNS, malah kakitangannya juga melayan semua pelanggan dengan baik.

“Saya harap program seperti ini perlu diadakan kerap,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah berkata program tahunan kali keempat itu dianjurkan bagi memastikan kepuasan pelanggannya diutamakan.

Azlan berkata, antara lain program itu juga membuka ruang kepada orang ramai mengemukakan aduan, pandangan dan kehendak mereka mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan PKNS.

“Pelanggan juga boleh menyalurkan maklum balas serta pandangan mereka melalui pelbagai saluran kepada PKNS Careline melalui Facebook, Twitter, portal, SMS, QR code, emel dan talian bebas tol.

“Program ini juga berperanan meningkatkan penyertaan warga kerja PKNS dalam aktiviti penambahbaikan di dalam perhidmatan yang ditawarkan. PKNS sentiasa menekankan nilai ‘customer centric’ atau mengutamakan pelanggan dalam diri anggota,” katanya.

Sementara itu, maklum balas yang diterima PKNS mengenai sistem bayaran secara online atau e-pay PKNS positif kerana kebanyakan penggunanya berpuas hati dengan sistem yang diperkenalkan sejak Oktober 2013.

Kewujudannya memudahkan urusan pembayaran bil penyelenggaran, bil air dan elektrik buat penduduk pangsapuri PKNS.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.