Categories
SELANGOR

Jadi Datuk Bandar MBPJ atau birokrat- Tony Pua

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 OKT: Tindakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datin Paduka Alinah Ahmad yang didakwa berterusan bertindak solo dalam keputusannya menimbulkan banyak tanda tanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Alinah perlu memilih sama ada mahu menjadi Datuk Bandar kepada rakyat di bandar raya itu atau birokrat yang buta terhadap kepentingan rakyat.

Tony Pua Wancara 01Katanya, walaupun menerima bantahan ahli-ahli majlis berhubung Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) 1 dan 2, Alinah didakwa masih keras hati menolak suara majoriti.

“Pihak majlis ialah dan sepatutnya menjadi badan sah bagi memberikan cadangan terhadap RTPJ untuk kelulusan Kerajaan Negeri.

“Jika ahli-ahli majlis ini tidak adak kuasa meminda draf mereka selain daripada Kerajaan Negeri itu sendiri, jadi, siapa lagi,” kata Pua dalam kenyataan medianya hari ini.

Semalam, Alinah berkata akan menghantar dokumen berkaitan kepada Datuk Menteri Besar Mohamed Azmin Ali untuk tindakan lanjut.

Katanya, tindakan itu berdasarkan kepada Seksyen 10(7), yang mana jika semua orang bersetuju tetapi beliau tidak bersetuju, maka perkara itu perlu dibawa kepada Menteri Besar untuk membolehkan keputusan dibuat.

Sebelum ini, majoriti ahli-ahli majlis menyokong usul untuk menarik-balik dan membatalkan cadangan pindaan RTPJ1 dan RTPJ2 dan mahu usaha pindaan dihentikan sehingga maklum-balas daripada rakyat diberi perhatian sewajarnya.

“Ahli-ahli majlis mempunyai alasan kukuh untuk mengkaji semula RTPJ memandangkan terdapat isu-isu kontroversi yang dikhuatiri merosakkan pembangunan mampan bandar ini.

“Adakah terdapat kepentingan lain dalam keputusan Alinah. Hanya beliau boleh jawab.

“Bagaimanapun, kami gembira Alinah bawa perkara ini kepada Menteri Besar kerana kami yakin Mohamed Azmin akan membuat keputusan tepat bagi melindungi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.