Categories
BERITA UTAMA

Jangan tertipu! Kenaikan 20 sen setiap liter lebih mahal 6 peratus GST

Oleh: NAZLI IBRAHIM

Berhenti bertepuk tangan, jangan cepat tertipu dengan ‘kemurahan hati’ Perdana Menteri mengecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi pembelian bahan api petrol dan diesel baru-baru ini.

Pengumuman Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2015 Jumaat lalu, seperti biasa, hanyalah strategi licik (liciklah sangat…!) membodohkan rakyat dengan gambaran kononnya prihatin dengan tekanan kos sara hidup rakyat.

Sangat jelas, terang lagi bersuluh. Hanya beberapa hari sebelum belanjawan diumumkan kerajaan terlebih dahulu menaikan harga petrol Ron95 dan diesel masing-masing sebanyak 20 sen.

bantah gst aKenaikan itu menjadikan harga Ron95 pada RM2.30 seliter dan diesel pada harga RM2.20 seliter.

Ketika memutuskan kenaikan 20 sen itu, sudah tentu Najib dan kabinetnya sudah memikirkan semasak-masaknya antara dua pilihan – mana lebih menguntungkan mereka.

Mereka juga sudah semestinya¬† memikirkan strategi, langkah mana patut didahulukan dan mana patut dikemudiankan bagi menampakkan lebih¬† rasa ‘kasih sayang’ kepada rakyat.

Dua pilihan itu, pertama – mengekalkan harga Ron95 dan diesel pada paras lama tetapi mengumumkan GST dikenakan untuk bahan keperluan penting semua lapisan masyarakat itu.

Mengekalkan Ron95 pada harga RM2.10 seliter dengan mengenakan GST 6 peratus, bermakna rakyat terpaksa membayar RM53 untuk setiap 23.8 liter Ron95 yang berharga belian RM50 iaitu tambahan RM3 cukai GST. Najib tahu, ini boleh mendatangkan kemarahan!

Pilihan kedua – menaikkan harga kedua-dua bahan api itu sebanyak 20 sen seliter, juga mendatangkan kemarahan tetapi kemudiannya boleh diredakan dengan pengumuman ‘menggembirakan’ dalam Belanjawan 2015 iaitu mengecualikan Ron95 dan diesel daripada GST.

ron95Realitinya, pilihan kedua ini menyebabkan rakyat terpaksa membayar RM54.74 (berbanding harga lama – RM50 tanpa GST) bagi pembelian 23.8 liter Ron95 yang berharga baru RM2.30 seliter. Nampak sekarang?

Lebih menyakitkan hati, Najib dengan nada ‘kesal’ memberitahu, kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM13.8 bilion selepas memansuhkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ini sama seperti iklan GST di kaca televisyen yang memberitahu kerajaan meringankan beban rakyat kerana memansuhkan 16 peratus SST dan menggantikan dengan GST yang cuma enam peratus.

Meringankan perbelanjaan yang dimaksudkan Najib ini mungkin terpakai bagi golongan kelas menengah seperti Najib sendiri yang bersarapan pagi, makan tengah hari, ‘mengeteh’ bersama rakan di petang hari dan makan malam di restoren atau cofee house di hotel-hotel mewah.

Bagi orang kebanyakan yang lebih bercita rasa restoren mamak atau gerai-gerai kaki lima pula, mungkin hanya sekali dua menjamah hidangan di restoren makanan segera di awal bulan sementara ‘bulan masih terang’.

Sekarang nampak tak permainan Najib dan Barisan Nasional (BN) dalam projek membodohkan rakyat? Bukan main ‘liciknya’ strategi mereka bukan?

GST Grafik BaruWalaupun mungkin bagi sesetengah kita menganggapnya sebagai satu helah yang mudah dibaca tetapi di sebalik tempurung masih ada yang melihat helah membodohkan rakyat ini sebagai strategi yang lahir dari idea hebat lagi maha agung.

Sesungguhnya usaha yang sama seperti suatu penghinaan terhadap minda rakyat ini akan berterusan selagi mana wujudnya golongan yang terus bertepuk tangan meraikan kebodohan sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published.