Categories
KENYATAAN MEDIA

LUAS: Siasatan diteruskan cari punca pencemaran Sg Selangor

Oleh: MD KHAIRI BIN SELAMAT

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menerima maklumat berkenaan kehadiran kesan minyak di muka sauk Sungai Selangor pada malam semalam (11 Oktober 2014) yang telah menyebabkan henti tugas loji pembersihan air (LPA) SSP3 pada jam 8.00 malam dan diikuti
dengan LPA SSP1 dan SSP2 pada jam 8.30 malam dan seterusnya LPA Rantau Panjang pada jam 10.25 malam.

Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor (JKPSA) yang diurusetiakan oleh LUAS telah bergegas ke muka sauk berkenaan dan sampel telah diambil oleh pihak Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH) untuk dianalisa bagi mengenalpasti kandungan kesan minyak tersebut.

Ujian bau dan analisa minyak secara insitu juga telah dijalankan di setiap jam sehingga kini.

syabasci__0022_Layer 7Siasatan pasukan kecemasan yang dijalankan sehingga awal pagi ini di Sungai Batang Kali, Sungai Rawang, Sungai Garing, Sungai Gong dan Sungai Sembah tidak dapat menemui punca pencemaran.

Siasatan lanjut akan diteruskan lagi pada hari ini untuk memastikan punca tersebut.

Hasil penurunan kadar kesan minyak yang dianalisa di muka sauk, LPA SSP3 telah beroperasi semula pada jam 5 pagi, diikuti dengan SSP1, SSP2 dan Rantau Panjang pada jam 5.15 pagi.

Walau bagaimanapun, akan berlaku gangguan pembekalan air terawat kepada pengguna kerana operasi LPA mengambil masa untuk pulih dan kembali seperti biasa semula.

Perkara ini akan dimaklumkan oleh pihak Syarikat Bekalan Air Negeri Selangor (SYABAS) dari semasa ke semasa.

Pihak LUAS dan pihak-pihak lain yang terlibat iaitu SPLASH, Puncak Niaga Sdn. Bhd (PNSB) dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) sedang bertungkus lumus menangani perkara ini dan memastikan punca kejadian dikenalpasti dan tindakan sewajarnya diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab.

Diharapkan kepada orang ramai dan semua pihak untuk memastikan setiap aktiviti yang dijalankan tidak mencemarkan sumber air bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan air kepada semua pengguna.

* MD KHAIRI BIN SELAMAT adalah Pengarah,Lembaga Urus Air Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.