Categories
SELANGOR

Masyarakat & PBT perlu prihatin atasi isu gegantung dan pelekat haram

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 24 OKT: Masyarakat perlu memainkan peranan utama dalam menangani masalah paparan gegantung dan pelekat peminjam wang tanpa lesen supaya ia tidak menjejaskan imej bandar raya berkenaan.

ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, selain penguatkuasaan dilakukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kesedaran masyarakat dalam menangani masalah itu penting.

IMG_20141024_111324“Kita sebagai masyarakat perlu lebih bertanggungjawab. Saya lebih cenderung kepada masyarakat yang bertanggungjawab berbanding tindakan penguatkuasaan MBPJ.

“Bagaimanapun MBPJ perlu lebih proaktif bagi menjalankan pemantauan dan bertindak membanteras perkara ini supaya pihak terbabit dapat dikenal pasti dan dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media selepas operasi menurunkan gegantung dan pelekat tanpa lesen di sekitar bandaraya di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, peniaga memaparkan gegantung promosi perniagaan memang menjadi isu kerana ada antara golongan itu yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan MBPJ.

IMG_20141024_110208Selain itu, katanya, sekiranya mempunyai lesen mereka tetap perlu mengikut garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Dalam panduan ini mereka kena tahu gegantung mempunyai lesen boleh digantung di semua kawasan pentadbiran MBPJ tetapi bukan di jalan protokol iaitu Jalan Timur, Jalan Barat, Jalan Sultan, Jalan Yong Shook Lin, Sekitar Pusat Bandar Seksyen 52, Seksyen 8, Seksyen 14, Seksyen 5, SS2 dan SS21. Saya minta peniaga dan pemilik perniagaan bekerjasama dala perkara ini.

“Isu kedua ialah peminjam wang tanpa lesen yang melekatkan pelekat perniagaan mereka di merata tempat di banda rraya ini. Masalah sekarang bukan kita hanya hapuskan pelekat pinjaman wang haram tetapi yang utama golongan peminjam wang atau along ini,” katanya.

Bee Yin berkata, masalah itu berlaku di kebanyakan tempat di Petaling Jaya maka isu itu memerlukan satu tindakan tegas bagi mengatasinya.

Katanya, berdasarkan laporan MBPJ, sebanyak 442,815 gegantung tanpa lesen diturunkan dan 1,628 nombor telefon peminjam wang haram direkodkan sejak awal tahun hingga Oktober ini.

“MBPJ diminta supaya lebih tegas dalam perkara ini manakala Polis akan memantau aktiviti membabitkan peminjam wang haram atau along. Ia bukan sahaja menjejaskan masyarakat tetapi juga imej bandar raya ini,” katanya.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan MBPJ, Mohd Izlizam Bahardin berkata, pihaknya akan bertindak berdasarkan bahan dirampas dan berusaha mengenal pasti pihak berkaitan.

“Kita akan lihat iklan dipaparkan dan berpandu kepada alamat serta nombor telefon, kita akan menghantar notis kepada pihak berkenaan. Tindakan lain seperti mengenakan kompaun dan sebagainya,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.