Categories
SELANGOR

MB: Gangguan bekalan air kesan pencemaran pulih

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 12 OKT : Proses pemulihan bekalan air dijangka kembali pulih bermula pukul 8 pagi esok (13 Okt), kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Namun katanya sebahagian kawasan terutama di kawasan tinggi dan di hujung sistem agihan seperti Pulau Indah, Banting dan lain-lain akan pulih secara berperingkat dalam tempoh tiga hari.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga bersetuju menempatkan tangki statik di beberapa kawasan terjejas selain mengarahkan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk mengemaskini laman sesawang mereka serta meningkatkan keupayaan pusat perkhidmatan pengguna, PUSPEL.

“Manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membantu mendapatkan lori tangki tambahan dari negeri lain dan juga dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pada masa sama, operator Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) iaitu SPLASH diminta untuk meningkatkan pengeluaran dari 950 juta liter sehari (JLH) kepada 1045 JLH serta-merta sebagai langkah mitigasi.

“Keutamaan bantuan bekalan air kecemasan ini diberikan kepada pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah kebajikan serta situasi yang amat memerlukan seperti upacara kematian atau kenduri,” katanya dalam sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), dekat sini hari ini.

Terdahulu, Azmin mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan langkah segera berhubung isu gangguan bekalan air akibat tumpahan hidrokarbon di Sungai Selangor yang menyebabkan tiga loji rawatan air di kawasan itu termasuk Loji Rawatan Air Rantau Panjang dihenti tugas serta merta malam tadi.

Mesyuarat itu turut dihadiri Exco negeri, Elizabeth Wong, Mohd Zaidy Abdul Talib, Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Syabas dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta beberapa agensi kerajaan yang berkaitan.

Mengulas lanjut, Azmin berkata insiden pencemaran sungai ini menjejaskan bekalan air bersih hingga menyebabkan gangguan sementara kepada hampir 60 peratus pengguna di Selangor.

Beliau turut melahirkan kekesalan ekoran kejadian pencemaran yang berulang lagi selepas kejadian sama di Sungai Gong pada Ogos tahun lalu di mana Kerajaan Negeri bertindak merampas tanah dan mengenakan tindakan mahkamah kepada pihak terlibat.

“Kerajaan Negeri ingin mengingatkan supaya tiada lagi tindakan sewenang-wenangnya dalam membuang sisa industri ke dalam sungai atau tindakan tegas akan diambil,” katanya lagi.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.