Categories
SELANGOR

MB: Mangsa ribut Pandamaran dibantu, baik pulih disegerakan

SHAH ALAM 24 OKT: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bersetuju membaik pulih bumbung di tiga (3) blok kediaman yang mengalami kerosakan dan menggantikan tangki air di Blok A, B, C dan D, Flat Pandamaran Permai Indah yang melibatkan kos RM600,000.00.

Mohamed Azmin berkata Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang semalam meneliti maklum balas daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Daerah dan Tanah Klang mengenai laporan kejadian ribut taufan di Pandamaran, Klang yang berlaku pada 21 Oktober 2014 yang lalu.

MB lawatKejadian angin kencang ini memusnahkan harta awam dan rumah penduduk di Kampung Pandamaran, Flat PKNS Pandamaran Jaya, Flat Pandamaran Permai Indah dan Kampung Pandamaran Jaya. Jeti Nelayan Pandamaran (Sg. Aur) juga turut mengalami kerosakan.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menampung kos kerja pembaikan di Flat PKNS Pandamaran Jaya dan dijangka siap pada hari ini.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju memberikan sumbangan saguhati membaikpulih kerosakan melibatkan kerangka kayu dan penggantian bumbung bagi lebih 40 buah rumah mengikut tahap kerosakan dinilai Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

“Kos untuk maksud ini dianggarkan berjumlah RM50,000.00,” kata Mohamed Azmin dalam kenyataan media.

Beliau berkata Kerajaan Negeri mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Klang bersama Lembaga Urus Air Negeri Selangor (LUAS) membina semula Jeti Nelayan Sungai Aur bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan nelayan di kawasan Pandamaran.

Katanya untuk tujuan itu kos dianggarkan berjumlah RM30,000.00.

“MPK telah diberikan sejumlah RM73,000.00 untuk kerja pembersihan sisa runtuhan, sampah sarap, pemotongan dan pembersihan pokok tumbang berikutan bencana ribut taufan ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.