Categories
SELANGOR

MET: Atmosfera tak stabil punca puting beliung di Pandamaran

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM, 22 OKT: Kejadian puting beliung di Pandamaran, Klang semalam dipercayai berpunca daripada ketidakstabilan atmosfera.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata faktor kelembapan udara yang tinggi dan penumpuan angin di paras rendah serta ketidakstabilan atmosfera menjadi pemangkin bagi pembentukan awan ribut petir berskala besar.

ribut“Pihak kami mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat kira-kira pukul 1.53 petang.
“Namun berdasarkan gema radar cuaca, pembentukan awan keamatan tinggi mula terbentuk sekitar pukul 2 petang dan berakhir pada pukul 3.10 petang,” katanya menerusi kenyataan media.

MetMalaysia juga berkata kejadian ribut petir dan hujan lebat adalah satu perkara biasa dalam tempoh terdekat ini berikutan berlakunya musim peralihan monsun.

Kejadian yang berlaku selama kira-kira 30 minit sekitar jam 2 petang semalam menyaksikan atap 40 buah rumah di dua blok pangsapuri PKNS di Pandamaran Jaya, diterbangkan angin dan ribut.

Wartawan Selangor Kini turut menerima kiriman klip video berdurasi 46 saat menerusi aplikasi WhatsApp.

Berdasarkan klip video tersebut, dipercayai bumbung dan pagar zink sebuah gudang menyimpan tong gas diterbangkan pusaran angin dan ribut kuat itu.

Kejadian turut mengakibatkan beberapa kawasan di Jalan Banting dan Jalan Besar Pandamaran rosak teruk dengan kes pokok tumbang dan beberapa buah rumah dilaporkan rosak.

ributSebelum ini, kejadian seumpama itu berlaku 15 Oktober lalu di Pendang, Kedah menyaksikan pusaran angin setinggi bangunan empat tingkat terbentuk sejurus hujan lebat melanda, sebelum menerbangkan bumbung dan dinding beberapa rumah di Kampung Alor Besar.

Sekurang-kurangnya 10 buah rumah dan sebuah sekolah rendah di wilayah itu rosak teruk.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.