Categories
SELANGOR

Pelbagaikan ‘Buku Jalanan’ tarik minat pembaca

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Pengunjung program ‘I Want To Touch A Book’ menyarankan aktivis Buku Jalanan supaya memperbanyakkan jenis buku untuk menarik lebih banyak pembaca daripada golongan kanak-kanak dan remaja.

Saranan ini diluahkan pengunjung sebagai usaha penambahbaikan aktiviti sihat memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat yang pada dasarnya mempunyai cita rasa bahan bacaan berbeza.

Buku Jalanan12Bagi Syatira Ismail, 33, yang bekerja sebagai juruaudit di sebuah agensi perbankan, budaya membaca di tempat awam masih dilihat sebagai budaya janggal di negara ini namun berdasarkan inisiatif yang dibuat aktivis, ia berpotensi mengubah persepsi masyarakat.

Syatira secara peribadi merupakan penggemar buku berbentuk motivasi dan pendidikan berkata, beliau sering membawa buku ke mana sahaja sebagai peneman terutama ketika melancong dan menggunakan pengangkutan awam.

“Saya agak terkejut kerana mereka mempunya buku yang lama seperti Readers Digest 1988 yang saya sendiri tidak pernah baca,” katanya ketika ditemui Selangor Kini.

Pandangan sama turut dikongsikan oleh Nadia Jamil, 28 yang mengakui tertarik dengan penganjuran aktiviti sebegini dan ini merupakan kali pertama beliau datang.

Selaku penggemar buku berbentuk motivasi dan pengetahuan mengenai Islam beliau berkata, program seperti ini perlu dipromosikan dengan lebih luas untuk pengetahuan umum.

“Saya rasa ini merupakan perkara yang baik untuk diketengahkan di Malaysia sebab banyak buku lama terutama mereka yang meminati sejarah, kita boleh tahu apa yang pernah terjadi dan kita boleh belajar daripada sejarah.

“Tempat terbuka sebegini bagus untuk memberikan pengetahuan kepada orang awam seperti makluman aktiviti sebegini diadakan dua minggu sekali.

“Lebih banyak buku yang baru dan segar untuk menarik minat remaja dan kanak-kanak memandangkan masyarakat mempunyai citarasa selektif,” katanya yang memilih majalah Readers Digest sebagai bahan bacaan.

Penganjuran ‘I Want To Touch A Book’ yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur berlangsung sedikit suram meskipun terdapat beberapa pengunjung mendekati dan melihat buku yang dipamerkan.

Cuaca mendung menemani aktiviti meminjam dan membaca buku secara percuma yang diadakan dua minggu sekali bermula pada jam 5.30 petang dan berakhir sekitar jam 7.00 malam.

Beberapa aktivis juga dilihat berkumpul dalam bulatan dan bertukar pandangan mengenai isu semasa termasuk penganjuran ‘I want to touch a dog’ minggu lalu.
EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.