Categories
KENYATAAN MEDIA

Pemenang anugerah Nobel Keamanan hidupkan harapan masa depan kanak-kanak

Oleh: DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Pemberian Anugerah Nobel Keamanan kepada Malala Yousafzai dari Pakistan dan Kailash Satyarthi dari India merupakan satu penghargaan besar kepada kedua-duanya yang telah memainkan peranan cukup penting dalam mengetengahkan isu hak asasi kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan dan tidak dieksploitasi demi mengaut keuntungan.

Di kala berjuta-juta kanak-kanak tidak mendapat akses kepada pendidikan, atau diperguna dan ditindas, kedua-dua penerima Anugerah Nobel Keamanan ini mengingatkan kita betapa banyaknya kerja yang masih perlu kita lakukan.

malala-yousafzai-1-w724Saya berdoa dan berharap yang rakyat Malaysia akan mendapat suntikan semangat apabila mengenali lebih dalam usaha kedua-dua penerima Anugerah Nobel Keamanan ini untuk mengangkat martabat kanak-kanak.

Saya percaya kita perlu memberi fokus serta mengganding usaha untuk menghentikan pemerdagangan kanak-kanak, untuk memastikan kita berpegang dan mematuhi sepenuhnya Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, untuk membantu kanak-kanak tanpa bernegara dan pelarian mendapat akses pendidikan yang lebih baik, dan memastikan tiada lagi kanak-kanak yang dieksploitasi dalam perdagangan seks.

Bak kata Malala sendiri sewaktu sidang media di Birmingham, England apabila menerima berita anugerah tersebut, “Ini bukan garisan penamat. Ini hanya permulaan.”

Marilah kita terus gigih berusaha dan beristiqamah demi memastikan masa depan yang lebih baik untuk kanak-kanak.

* DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL adalah Presiden KEADILAN

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.