Categories
NASIONAL

Pemikir: “Bagaimana roh kroni kapitalis hutang ratusan juta?”

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diingatkan untuk menggunakan hadith berkaitan hutang terhadap kroni Barisan Nasional (BN) dan bukan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan TInggi Nasional (PTPTN) sahaja.

Pengarah Pemikir Kaum Muda, Asrul Nizam mengingatkan Najib untuk tidak mensasarkan kelompok rakyat biasa dengan mempergunakan dalil dan hadith bagi tujuan mengutip hutang.

hutangTetapi, kata Asrul, kelompok kapitalis kroni ini pula terus dibiarkan bebas berkeliaran walaupun mempunyai bebanan hutang ratusan juta ringgit.

“Jangan Najib lupa bagaimana pentadbirannya melupuskan hutang berjumlah RM589 juta oleh Tan Sri Tajuddin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Berhad.

“Ini adalah satu contoh paling klasik bagaimana pihak Kerajaan Persekutuan memberikan layanan sungguh istimewa kepada kaum kapitalis kroni terpilih.

“Adakah hanya roh peminjam PTPTN sahaja yang akan tergantung-gantung tetapi kelompok kapitalis kroni terpilih ini tidak termasuk dalam golongan seperti diriwayatkan hadith itu,” kata Asrul dalam satu kenytaan hari ini.

Semalam, Najib dalam pembentangan bajet di Dewan Rakyat mengingatkan peminjam PTPTN untuk membayar hutang PTPTN sebelum dikenakan tindakan tegas.

Najib juga menawarkan 20 peratus kepada peminjam yang mahu menjelaskan sepenuhnya hutang PTPTN sehingga Mac tahun depan sementara 10 peratus diberikan kepada mereka yang membayar secara konsisten selama 12 bulan.

“Menyakitkan hati rakyat apabila Kerajaan Persekutuan menawarkan pelan pelupusan hutang atau pelan penstrukturan hutang kepada kroni seperti saudagar permaidani, Deepak Jaikishan.

“Tambah pedih luka di hati rakyat, apabila kerap kali kerajaan menggunakan pelan tindakan bail-out menyelamatkan syarikat kapitalis kroni mempunyai beban hutang berbillion ringgit.

“Tetapi, memilih mempergunakan hadith dan tindakan penyenaraian nama di CCRIS untuk mengugut rakyat dalam isu hutang PTPTN,” tegasnya lagi.

Pada masa sama, Asrul menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku-rasuah sama ada di kalangan penjawat awam biasa, pegawai kerajaan, Menteri Kabinet dan kelompok kapitalis kroni tanpa ada sikap memilih.

Katanya, tanpa iltizam politik untuk mengheret jerung rasuah ke muka pengadilan, negara terus hilang daya saing dan reputasi di pentas dunia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.