Categories
SELANGOR

Penduduk diminta peka Rancangan Tempatan MPSJ 2020

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 24 OKT: Penduduk kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diingatkan memainkan peranan mereka dalam Rancangan Tempatan MPSJ 2020 dengan proaktif.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata sejak dipamerkan kepada orang awam bermula awal bulan hingga kini, pameran RT itu kurang mendapat perhatian.

hannah yeoh speech 01Katanya, kebanyakan penduduk tidak tahu dan tidak sedar akan kepentingan RT yang mampu memberi kesan besar kepada kehidupan masa depan mereka.

“Antaranya, mereka boleh lihat ‘zoning’ kawasan atau tanah mereka, sama ada terletak dalam kategori apa.

“Kadang-kadang mereka beli tanah dan berniat untuk buat bangunan tetapi ‘zoning’ pula untuk perkara lain, jadi tidak sama.

“Sebab itu, penting untuk tengok sendiri, sekiranya ada bantahan atau cadangan boleh dikemukakan kepada MPSJ,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Adun Kinrara, Ng Sze Han hadir di lobi MPSJ bagi menyerahkan borang bantahan awam untuk tindakan lanjut.

Sehingga kini, MPSJ hanya menerima 25 borang bantahan daripada orang awam berbanding jumlah rungutan dan bantahan yang sering disuarakan penduduk termasuk secara lisan dan media sosial.

“Orang ramai perlu sedar inilah peluang mereka kerana selepas diwartakan, tiada banyak yang boleh dilakukan.

“Harap jawatankuasa penduduk pun boleh lebih proaktif memastikan orang ramai tahu mengenai perkara ini,” kata Sze Han.

Sehubungan, itu, Hannah dan Sze Han berkata mereka turut memberi cadangan kepada MPSJ untuk memanjangkan lagi tempoh pameran awam yang sepatutnya berakhir pada 11 November ini.

Borang bantahan boleh didapati di kompleks bangunan MPSJ atau boleh dimuat turun melalui laman web rasmi MPSJ.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.