Categories
SELANGOR

Pengguna jalan raya saran guna bahan berkualiti, tahan lama

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Selangor disaran memastikan kontraktor yang dilantik bagi kerja membaiki jalan di seluruh negeri itu menggunakan bahan binaan yang berkualiti.

Walaupun penggunaan bahan berkualiti bakal menelan kos membaik pulih lebih tinggi tetapi mampu menjamin ketahanan jalan raya lebih lama berbanding penggunaan bahan binaan tidak berkualiti dan murah.

Ahli Perniagaan, Yusfadlisha Mohd Yusop, 34, berkata, Kerajaan Negeri juga perlu menjalankan pemeriksaan terhadap faktor penyebab kerosakan berulang walaupun selepas jalan di sesuatu lokasi dibaiki sebelum kerja menurap semula dijalankan.

pc2“Ada ‘spot-spot’ di Shah Alam ini apabila dibaiki atau ditampal semula akan rosak balik dan disebabkan itu Kerajaan Negeri harus ambil inisiatif periksa semula keadaan tanah, lokasi, bentuk muka bumi dan pengairan supaya sekali buat, selesai. Tak payah nak dua, tiga kali tampal.

“Jalan raya harus ditampal dengan kualiti yang bagus supaya walaupun peruntukannya tinggi tetapi boleh tahan lama dan berbaloi untuk jangka masa panjang,” kata Yusfadlisha dalam satu tinjauan pendapat yang dibuat Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau turut mencadangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor supaya bertindak segera menampal lopak besar yang wujud akibat hakisan berpunca daripada hujan lebat kerana membahayakan penunggang motosikal.

Yusfadlisha juga menyarankan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis lebih kerap menggunakan jalan biasa berbanding lebuh raya bagi memudahkan mereka mengenal pasti lokasi jalan yang rosak.

Antara jalan yang perlu diberi perhatian termasuk berhampiran projek perumahan sekitar Seksyen 13, Shah Alam yang dipercayai menjadi laluan keluar masuk lori dan sekitar Alam Megah, Klang.

pc3Akaun Eksekutif, Halisa Harun, 43, berkata PBT di Selangor perlu memantau jalan berhampiran kawasan pembinaan kerana sering terdapat kerosakan yang disebabkan lori muatan berlebihan dan hakisan air lumpur dari kawasan terbabit.

“Keadaan jalan di Shah Alam, terutama kawasan keluar masuk lori di Seksyen 13 semakin teruk dengan jalan berlubang, longkang besar tak ada, air tanah mengalir atas jalan.

“Selain itu, kawasan perindustrian juga sama. Kerajaan Negeri juga kena mengecat semula garisan jalan yang sudah pudar kerana tidak jelas kelihatan boleh mengundang bahaya memandu pada waktu malam,” katanya.

pc1Graduan Universiti Sains Pengurusan (MSU), Muaz Roslan, 22, pula berpendapat walaupun keadaan jalan raya di Shah Alam secara umumnya dianggap memuaskan tetapi masih terdapat kerosakan yang harus diperbaiki.

“Di Shah Alam secara umumnya memuaskan. Ada banyak laluan yang sering saya guna sebelum ini berlopak tetapi kini sudah ditampal tetapi masih ada lagi masih berlopak.

“Adakah sebab tak buat kerja atau apa, saya tak tahu. Apapun ini menyusahkan pengguna jalan raya terutama pengguna motorsikal,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.