Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Deepavali Presiden PKR- Bebaskan sistem politik, ekonomi & kehakiman dari kezaliman

Oleh: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Bagi pihak Parti KEADILAN, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada rakyat Malaysia, sama ada yang beragama Hindu, Sikh dan lain-lain kaum yang merayakannya.

Deepavali atau nama singkatnya Diwali, dari segi spiritualnya merupakan suatu konsep meraikan cahaya.

Ia meraikan kebaikan yang wujud dalam hati setiap insan. Diwali merupakan suatu kemenangan atas segala kegelapan, sama ada yang lahir dari kejahilan dan prejudis, mahupun penganiayaan yang membabitkan seluruh masyarakat.

Di dalam Islam juga ditekankan soal cahaya ini. Iaitu Allah SWT mengajak kita meninggalkan kegelapan (zulumat) kepada cahaya (an-Nur). Iaitu suatu konsep yang menjadi teras pegangan, membawa masyarakat keluar dari kegelapan, kesengsaraan dan kemunduran kepada kepada cahaya pengharapan, keceriaan dan kemajuan.

wan-azizah-390x300Justeru, masyarakat yang merayakan Diwali ini, harus meletakkan konsep cahaya itu, kepada suatu penghijrahan yang lebih baik dan bermakna untuk masa depan.

Mereka harus berusaha gigih meninggalkan kesukaran dalam kehidupan dan untuk menggapai cahaya kesenangan. Meninggalkan kesengsaraan dan penganiayaan, lalu berhijrah kepada suatu kehidupan yang menjamin ekonomi dan sosial yang lebih baik.

Bersempena dengan Deepavali, masyarakat India di Malaysia juga harus mengambil perangsang daripada pujangga Rabindranath Tagore yang tegas memperjuangkan peningkatan taraf pendidikan masyarakat dan sikap berdikari untuk bangsa India.

Rakyat berbilang kaum di dalam negara kita, harus mengambil iktibar, betapa pentingnya kita sama-sama berhijrah daripada penguasaan mutlak Barisan Nasional kepada suatu pemerintahan yang lebih menjamin masa depan.

Deepavali seharusnya memupuk cinta dan persaudaraan, menyuluh cahaya ketenangan dan keamanan. Sebagaimana mutiara kata Mahatma Ghandi;

“Cinta tidak pernah meminta, ia sentiasa memberi, cinta membawa penderitaan, tetapi tidak pernah berdendam, tak pernah membalas dendam. Di mana ada cinta di situ ada kehidupan; manakala kebencian membawa kepada kemusnahan.”

Oleh itu, bersempena hari ini, ingin saya mengingatkan diri saya serta rakyat Malaysia bahawa perjalanan kita masih jauh, biarlah cahaya kemenangan itu bangkit semula untuk membebaskan sistem politik, ekonomi, kehakiman dan sosial daripada cengkaman kezaliman.

Moga cahaya itu terus menerangi perjuangan kita. Selamat Hari Deepavali!

Leave a Reply

Your email address will not be published.