Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Deepavali oleh Dato’ Menteri Besar Selangor

Pertembungan berterusan falsafah kehidupan manusia dengan nilai-nilai kepercayaan merupakan perjuangan di antara kegelapan dan cahaya.

Bagi masyarakat Hindu, Deepavali serta festival utama lainnya seperti Thaipusam merupakan satu tempoh pengabdian dan pembersihan diri mendakap prinsip-prinsip kerendahan diri dan kezuhudan — kejayaan ilmu pengetahuan dan kesedaran mengatasi kebodohan dan keangkuhan.

Signifikan keagamaan menerusi perayaan Deepavali terhadap masyarakat Hindu adalah pelbagai namun ke semuanya berakarkan kepada idea cahaya terjelma. Dalam teks Hindu klasik — Puranas — Deepavali diraikan tatkala Dewa Krishna menewaskan Naraka yang jahat.

Satu lagi rujukan menjelaskan tentang kelahiran Dewi Lakshmi dari lautan kosmik.

Di dalam epik Mahabhrata, Deepavali melambangkan kepulangan Pandawa Bersaudara dari pemencilan manakala di dalam epik Ramayana pula menyatakan Deepavali sebagai tempoh ‘cahaya agung’ tatkala Rama bersama isterinya Sita dan saudaranya Laksmana kembali dari pemencilan panjang untuk memerintah kerajaan mereka dengan “adil”.

Penganut yang taat pada Dewi Ibu meraikan Deepavali sebagai kesinambungan kepada Dewi-Dewi “Vilaya Thandava” — “Tarian Kehidupan-Nya” untuk mewujudkan peraturan dan keadilan di alam sejagat.

Sebagai rakyat negeri Selangor yang turut berkongsi kemeriahan sambutan istimewa bersama-sama para penganut agama Hindu, kita sewajarnya menghayati signifikan kerohanian mengenai perayaan ini.

Di atas semangat persefahaman, kita berupaya mencipta asas kepada sikap saling menghormati dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang stabil dan makmur berdasarkan prinsip keamanan dan empati. Menerusi asas-asas inilah maka prinsip keadilan, integriti dan kemuliaan rakyat dapat disuburkan.

Atas semangat tersebut, saya mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada semua penganut agama Hindu. Semoga sambutan pada kali ini diraikan dengan penuh kebahagiaan dan kemakmuran.

* YAB Mohamed Azmin Ali ialah Dato’ Menteri Besar Selangor

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.