Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Raya Aidil Adha Presiden KEADILAN

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd. Selawat ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda serta sahabat-sahabat yang bertaqwa.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut AidilAdha kepada seluruh warga Muslim di Malaysia. Marilah kita bersama-sama mendoakan jemaah haji agar mendapat haji yang mabrur, dipermudahkan dan selamat dalam perjalanan sehingga pulang ke tanah air.

WAN AZIZAHIbadah Korban yang menjadi amalan umat Islam sejak syariat Nabi Ibrahim a.s dan putera baginda Nabi Ismail a.s, pada asasnya hendaklah dilakukan dengan niat yang bersih, perasaan rendah diri dan jujur.

Yang terserlah daripada pengorbanan kedua-duanya adalah nilai takwa, semangat mereka mempertahankan hak, menolak kebatilan dan tipu daya serta ancaman musuh.

Peristiwa dialami oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail di mana kemuncaknya dirayakan sebagai Aidiladha atau Hari Raya Korban mengingatkan kita, bahawa apa yang dikorbankan bukan manusia, tetapi sifat-sifat hawa nafsu yang ada dalam diri manusia seperti sifat tamak, rakus, angkuh, kedekut, menindas, zalim, hipokrit, munafik atau gila kuasa.

Dalam konteks Negara kita, pengorbanan haruslah dilihat dari sudut usaha kita menjadi insan yang istiqamah, ikhlas dan memegang amanah yang dikurniakan untuk memerangi salahgunakuasa, penyelewengan, rasuah dan penindasan.

Menjadi tanggungjawab kepimpinan Pusat dan Negeri untuk melaksanakan segala perancangan yang menjurus kepada kesejahteraan hidup rakyat, walaupun terdapat perbezaan kepentingan politik, agama dan bangsa.

Di samping itu, ibadah korban mendidik kita supaya rajin bersedekah dan membuat kebajikan dengan membelanjakan sebahagian wang, supaya daging ternakan korban, boleh dinikmati bersama, tanpa perbezaan darjat dan pangkat.

Kita juga tidak melupakan golongan yang memerlukan sama ada di Palestin, Syria, Iraq, Myanmar, Kemboja, yang harus kita panjangan sedekah dan sumbangan, supaya mereka memperolehi sedikit keringanan di atas beban yang mereka tanggung sekian lama. Mudah-mudahan segala pengorbanan kita, diterima disisi Allah SWT.

Selamat menyambut Aidul Adha 1435H

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
PRESIDEN KEADILAN
4 Oktober 2014
9 Zulhijjah 1435

Leave a Reply

Your email address will not be published.