Categories
SELANGOR

PKNS bangun perumahan guna konsep lestari & hijau

SHAH ALAM 18 OKT: Dalam melaksanakan program pembangunan perumahan mapan di Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengguna pakai konsep pembangunan yang lestari dan hijau.

Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah, berkata bermula daripada awal penubuhan PKNS pada 1964 sehingga tahun ini, PKNS telah menanam di sekitar kawasan bandar dan perumahan sebanyak sejuta pokok.

Rumah Bukit Botak“Shah Alam adalah contoh terbaik dari segi pembangunan. Banyak kawasan hijau dan kami akan terus menjadi pemaju lestari”, katanya.

Beliau berkata, dengan bank tanah sekitar 2,428 hektar, PKNS akan terus memberi fokus kepada aktiviti pembinaan rumah di lokasi yang pada masa ini kurang diberi tumpuan iaitu bahagian utara (Kuala Selangor) dan selatan (Semenyih) negeri Selangor.

“Untuk sebarang pembangunan kita akan tengok dulu potensi lokasi dan kita tidak perlu bangunkan kawasan itu serentak.

“Pada 1 Ogos lepas adalah sambutan ulang tahun ke-50 tahun PKNS dan kami berharap PKNS yang kini entiti RM5 bilion akan terus beroperasi untuk tempoh 50 tahun akan datang”, katanya dipetik Bernama.

Katanya, PKNS setakat ini giat melaksanakan beberapa projek rumah mampu milik di seluruh Selangor.

Projek di Bukit Botak yang kini dikenali sebagai Selayang Mutiara melibatkan pembinaan unit kediaman berkembar sebanyak 1,422 unit.

Projek yang siap pada penghujung Disember 2012 ini khusus untuk menyelesaikan masalah setinggan Bukit Botak.

Bagi menampung keperluan penduduk setinggan itu, PKNS membelanjakan sekitar RM80 juta subsidi untuk membolehkannya menjual unit rumah berkembar itu pada harga RM99,000 seunit.

“Ada sejumlah unit untuk ditawarkan kepada orang awam dan permohonan perlu dibuat melalui LPHS. Tawaran akan hanya dibuat selepas kami menyelesaikan segala urusan dengan penduduk setinggan”, kata Azlan.

Projek rumah mampu milik yang lain melibatkan pembinaan 124 unit pangsapuri enam tingkat di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dan siap sepenuhnya pada September 2014.

Warga kerja PKNS bergotong - royong menanam pokok di Taman Sains Selangor 2, CyberjayaPKNS menyediakan empat unit tingkat bawah untuk OKU dan warga emas untuk memudahkan pergerakan mereka.

Antara kemudahan yang disediakan ialah surau, dewan komuniti, pusat tuisyen, tadika, bilik bacaan serta kawasan lapang untuk rekreasi. Pangsapuri ini juga dilengkapi dengan lif.

Turut dalam perancangan PKNS ialah pembinaan sebanyak 5,328 unit townhouse di atas tapak seluas kira-kira 26 hektar di Seksyen 9, Kota Puteri berhampiran Ijok.

Menurut Azlan, sebuah kawasan setinggan, Kampung Seri Temenggung berhampiran Seri Gombak akan turut dibangunkan dengan pembinaan pangsapuri.

Harga pangsapuri dijangka dijual kepada penduduk setinggan pada harga RM65,000 berbanding harga pasaran RM150,000.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.