Categories
AGAMA BERITA UTAMA

Polemik sentuh anjing: Antara khilaf dan mazhab as-Sunnah

Oleh Wan Ji Wan Hussein

Perbincangan berkaitan anjing dianggap sensitif di kalangan umat Islam di Malaysia sekalipun ia ada disebut dalam al-Quran melalui beberapa bentuk, antaranya kisah Ashab al-Kahfi.

Dalam hadis juga, ada dicerita perihal seorang pelaku dosa besar boleh diampun oleh Allah disebabkan memberi minum kepada anjing.

Namun, ia dianggap sensitif di kalangan orang Melayu. Tidak diketahui sebabnya. Mungkin terlalu terikat kepada mazhab Syafie yang menyatakan hukum anjing ialah najis mughalazah (najis berat).

Mengikut perbincangan dari sudut pengajian usul al-fiqh pula, sesuatu perkara tidak boleh dijatuhi hukum haram selama tiada nas sahih dan sarih (jelas) menyatakan pengharamannya.

Kewujudan nas sahih tetapi tidak sarih (tidak jelas) juga tidak boleh menjadikan sesuatu itu haram. Ia seperti hadis yang menyatakan larangan ma’azif yang diterjemah sebagai muzik.

Hadis itu riwayat al-Bukhari, sudah pasti ia sahih tetapi kalimah Ma’azif dalam hadis itu tidak sarih. Maka, menafsirkannya sebagai muzik itu haram, tidak tepat.

Tiada satu nas sahih dan sarih menyatakan larangan menyentuh anjing. Jadi, ia tidak boleh dinyata sebagai haram. Inikan pula hukum sentuh anjing yang tiada satu nas sahih dan sarih.

Ada kekhilafan fiqh mengenai status kenajisan anjing. Dalam mazhab al-Syafie, ia najis. Maka, apabila menyentuh anjing, wajar dibasuh tujuh kali dengan salah satunya air tanah.

Dalam mazhab Hanafi, air liur anjing najis. Abu Fadhal al-Hanafi menyatakan, maksudnya: “Adapun anjing, maka sesungguhnya Nabi saw menyuruh membasuh bekas dari jilatannya (anjing) sebanyak tiga kali. Dalam satu riwayat, tujuh kali”

Adapun badan anjing, pendapat yang kuat dalam mazhab Hanafi, ia tidak dikira najis. Seorang ulama dalam mazhab Hanafi bernama Badr al-Din al-‘Aini berkata, maksudnya:

“Kemudian, telah ikhtilah di kalangan kami (ulama mazhab hanafi) berkenaan anjing, apakah ia najis pada ain (dirinya) seperti babi atau tidak. Pendapat yang paling sahih, ia tidak najis ain, sepertimana tersebut dalam kitab al-Badaie dan kitab al-Idah”

Dalam mazhab Maliki pula, Abu Umar al-Namiri al-Qurtubi menyatakan, maksudnya; “Sejumlah mazhab Malik di sisi pandangan ulama dalam mazhab itu pada hari ini bahawa anjing adalah suci dan bekas yang dibasuh dengan tujuh kali basuh itu adalah sekadar ibadat (sunat)”

Dapat disimpul, semua perkara berkaitan anjing dalam mazhab Syafie dianggap najis. Maka, wajib dibasuh tujuh kali basuh dengan salah satunya air tanah.

Dalam mazhab Hanafi, air liur dikira sebagai najis, sedangkan badan anjing berlaku kekhilafan di kalangan ulama mazhab itu.

Namun, pendapat yang paling kuat dalam mazhab itu, badan anjing tidak dikira sebagai najis. Berbeza dengan mazhab Maliki yang menganggap badan dan air liur anjing bukan najis. Suruhan basuh dengan tujuh kali basuh dalam hadis, hanya sunat, bukan wajib.

Kekhilafan ini bersandar kepada hadis bahawa Nabi saw bersabda, maksudnya: “Daripada Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah saw, apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka alirkan air padanya kemudian basuh sebanyak tujuh kali basuh.”

Kekhilafan itu kerana, dalam mazhab Syafie, mereka mengamal pendekatan Fahw al-Khitab. Jika air liur anjing pun wajib dibasuh, pasti kewajipan itu lebih lagi jika terkena badan anjing.

Dalam mazhab Hanafi, mereka melihat kepada zahir hadis yang mempamer jilatan sahaja. Menandakan, kenajisan itu berlaku pada air liur sahaja, tidak badannya.

Dalam mazhab Maliki, mereka meletak tanggapan bahawa mensucikan najis itu, cukup sekadar hilangkan tiga perkara – bau, rasa dan warna.

Untuk menghilangkannya, tidak semestinya tujuh kali basuh, malah sekali, dua kali basuh kadangkala tercapai maksud bersihkan najis. Maka, mereka meletak tanggapan hukum membasuh itu sunat.

Bagi tujuan berburu dan penjagaan, hadis ada menyatakan keizinan membela anjing. Antaranya yang bermaksud: “Barangsiapa yang bela anjing, maka sesungguhnya mengurangi pada setiap hari dari amalannya satu qirat, kecuali anjing untuk pengawasan atau anjing yang dibawa berjalan-jalan”

Ulama sepakat menyatakan keizinan membela anjing untuk perburuan dan penjagaan. Selain tujuan itu, berlaku kekhilafan. Ada ulama menyatakan haram seperti al-Imam al-Nawawi dan ada menyatakan makruh seperti pendapat ibn Abd al-Bar.

Kekhilafan berlaku atas beberapa sebab. Pertama, hadis yang menyatakan larangan itu dalam kerangka zanni al-Dilalah, bukan hukum qatie. Ia tidak sama seperti pengharaman zina dan haram makan daging babi.

Ini dapat dilihat pada lafaz “kekurangan pahala dengan satu qirat (dalam riwayat lain disebut dengan dua qirat)” itu masih ada pelbagai tafsiran.

Pada Imam al-nawawi, ia memberi maksud, haram. Namun, Ibn Abd al-Bar tidak melihat kekurangan pahala itu sebagai hukum haram, sebaliknya ia dibenarkan tetapi makruh.

Ini kerana melakukan perbuatan yang mengurangkan pahala, tidak membawa maksud haram. Ia umpamanya, seseorang yang tidak solat sunat.

Kedua, apabila hadis masih dalam kerangka zanni, pasti sesuatu larangan itu mempunyai sebab. Jadi, sebilangan ulama berkhilaf tentang sebab larangan itu.

Sebilangan menyatakan, larangan itu mencegah malaikat masuk dalam rumah, sebilangan lain menyatakan ia boleh mengganggu jiran tetangga, sebilangan anjing itu adalah syaitan, kebiasaan anjing dalam rumah memungkinkan jilatannya terkena bekas makanan dan sebagainya.

Jika larangan itu menjadi haram, ekoran malaikat tidak masuk rumah, sudah pasti memasukkan televisyen dan gambar dalam rumah juga dikira sebagai haram. Ini kerana, ada hadis menyatakan malaikat tidak masuk ke rumah yang ada gambar.

Jika larangan itu dikatakan boleh mengganggu jiran, sudah pasti larangan itu bukan hukum lizatih iaitu keharaman pada membela anjing tetapi pada faktor lighairih iaitu berfaktor kebisingan.

Dengan maksud, jika tidak membawa bising atau yang mempunyai halangan suara dari sampai ke rumah orang lain, maka ia tidak haram.

Jika larangan itu kerana sebilangan anjing adalah syaitan, maka pasti wujud anjing yang tidak syaitan. Ini kerana, definisi syaitan ialah setiap yang jahat, tidak kira ia dari kalangan apa pun.

Al-Imam al-Tabari menyatakan, maksudnya: “Setiap yang jahat dari kalangan jin, manusia, binatang dan semua perkara.”

Hal ini dikukuh dengan beberapa firman Allah yang menyatakan ada syaitan dari kalangan manusia dan jin, maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin” (Surah al-An’am, ayat 112)

Dan jika dikatakan kewujudan anjing dalam rumah menyusahkan untuk elak jilatan anjing termasuk bekas makanan, pasti larangan itu berfaktorkan sad al-Zaraie.

Hukum dari sudut sad al-Zaraie, asalnya dibenarkan tetapi, jika dapat mengelak dari berlaku perkara yang dilarang, maka kembali kepada hukum asal iaitu harus.

Ia dimisal seperti keizinan menjual anggur tetapi dilarang secara sad al-Zaraie, jika dijual kepada pembuat arak. Maka begitu juga berkaitan larangan membela anjing.

Sebenarnya, banyak perkara berkaitan anjing tidak wajar jadi sensitif. Namun, kekurangan penghayatan fiqh yang bersifat luas menjadikan kejumudan pula dilihat seperti kebaikan.
* Disunting dari tulisan Wan Ji, seorang pendakwah bebas yang mendapat pendidikan agama di Universiti Farooqiyyah di Pakistan dan Universiti Al-Azhar di Mesir. Tulisan asal, klik ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.