Categories
SELANGOR

Selangor negeri terbersih, PBT perlu ubah budaya kerja- Suee Lim

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali perlu melaksanakan pemantauan ketat dan penekanan khusus untuk menjadikan Selangor negeri terbersih menjelang tahun baru nanti.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata tanpa kedua-dua aspek berkenaan, sasaran itu sukar dicapai apabila pelbagai cabaran yang sentiasa menanti pihak berkuasa tempatan (PBT).

logo PBT“Antara cabaran dihadapi PBT ialah mengubah sikap dan budaya kerja warga PBT untuk bekerja secara efisien dan berintegriti.

“Di samping itu, penting juga untuk mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan rakyat bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan dan infrastruktur adalah tanggungjawab bersama.

“Bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata,” katanya yang dihubungi Selangor Kini

Semalam, Mohamed Azmin berikrar di hadapan penjawat awam di Pejabat Daerah Dan Tanah Gombak untuk menyelesaikan isu berkaitan PBT seperti isu sampah tidak dipungut, jalan berlubang, dahan tidak dicantas dan lain-lain dalam tempoh tiga bulan ini.

Mohamed Azmin tidak mahu lagi mendengar rungutan rakyat terhadap permasalahan itu pada tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Suee Lim mengingatkan pentadbiran Kerajaan Negeri bahawa kebanjiran warga asing berupaya menyebabkan masalah sampah tidak dapat diselesaikan secara tuntas.

“Semua pihak terlibat termasuk PBT dan orang ramai harus memberikan kerjasama jitu terhadap Kerajaan Negeri dan Menteri Besar.

“Sama-samalah kita bekerjasama bagi merealisasikan hasrat menjadikan Selangor negeri terbersih,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.