Categories
SELANGOR

Tangguhkan kenaikan fi lesen niaga, bebankan peniaga

Oleh : AFEEQA AFEERA

SELAYANG, 23 OKT: Kerajaan Selangor diminta mengkaji semula serta menangguhkan cadangan kenaikan fi lesen perniagaan antara 100 hingga 500 peratus yang akan dikuatkuasakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mulai tahun depan.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong, berkata meskipun ada di kalangan peniaga yang berkemampuan untuk membayar kadar baru berkenaan, namun ia tidak sesuai dilaksanakan buat masa sekarang.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS)Apatah lagi katanya kenaikan itu akan memberi kesan kepada peniaga dan pengguna yang berdepan tekanan hidup semakin tinggi ditambah dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang terpaksa dihadapi kelak.

“Penyelarasan ini dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPS pada tahun 2007 iaitu semasa pendtadbiran Barisan Nasional (BN) tetapi ditangguh dan baru ingin dilaksanakan sekarang.

“Kenaikan fi ini adalah mengikut jenis perniagaan atau perkhidmatan dan saiz (keluasan) premis, ini yang membebankan rakyat dan tidak tahu di mana rasionalnya ia dikelaskan seperti itu.

“Saya tahu pihak berkuasa tempatan (PBT) ada masalah dana, tetapi cara ini tidak sesuai, maka kita minta Kerajaan Negeri kaji dan tangguh semula cadangan dan akan ambil perkara ini untuk bincang dalam mesyuarat Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya dekat sini, hari ini.

Antara perkhidmatan yang dikenakan kenaikan fi lesen adalah seperti penjualan bahan logam, perniagaan makanan dan minuman dan lain-lain.

Sementara itu, Adun Rawang, Gan Pei Nei, berkata pihaknya sudah membuat rayuan kepada Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah supaya kenaikan ini ditangguh bagi mengelakkan rakyat terbeban.

Katanya setakat ini pihaknya menerima kira-kira 10 aduan setiap hari daripada peniaga yang memohon supaya kenaikan baru itu dikaji rasionalisasinya.

“Ini bukan masanya kerana keadaan ekonomi yang susah di mana rakyat terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi.

“Kerajaan Negeri perlu prihatin dengan masalah rakyat kerana ia memang membebankan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.