Categories
SELANGOR

“Terpaksa kongsi komputer riba untuk buat kerja”

Oleh : AFEEQA AFEERA

SERDANG, 17 OKT : Perkongsian komputer riba bersama adik beradik lain disebabkan kekangan kewangan keluarga menyebabkan Nurhafizatul Lyanna Abdul Halim, 21, terpaksa berhadapan kesukaran membuat tugasan universiti.

Meskipun berhadapan situasi itu, namun penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini tidak pernah berputus asa menuntut ilmu menggunakan apa sahaja kemudahan yang ada.

Penyerahan laptop oleh zakat Selangor di UPM (7)Katanya komputer riba dimiliknya secara turun temurun itu berusia tujuh tahun dan diwarisi daripada kakak sulungnya.

“Komputer riba itu digunakan secara turun temurun untuk membuat kerja masing-masing dan sedikit sebanyak merencatkan tugasan yang perlu dilakukan.

“Justeru bantuan komputer riba yang diberikan ini dapat meringankan beban saya membuat kerja apatah lagi keluarga tidak mampu membelikannya,” kata anak kedua daripada empat orang adik beradik ini.

nurhafizatulyanaBeliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Agihan Komputer Riba 2014 oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Dewan Banquet, UPM yang disempurnakan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Bagi Mohammad Amirul Aziq Aman, 19, bidang grafik yang dipelajarinya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sememangnya memerlukan setiap pelajar menggunakan komputer riba untuk membuat tugasan.

Tidak pernah memiliki komputer riba sendiri, anak kedua daripada empat orang adik beradik ini terpaksa meminjam daripada rakan sekelasnya.

“Semestinya bangga dan gembira dengan bantuan ini kerana ia dapat membantu pelajaran saya dan sudah tentu saya akan menggunakannya untuk membuat kerja,” katanya.

abidatul aqilahSementara itu, Abidatul Aqilah Abdullah, 20, yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan merasa terharu kerana terpilih untuk menerima bantuan berkenaan.

Beliau yang tinggal bersama ibunya mengakui kekangan kewangan dihadapinya tidak memungkinkan keluarganya untuk membeli komputer riba.

“Mula-mula tak sangka dapat bantuan ini dan saya terharu kerana kalau nak usaha sendiri mungkin susah dapat,” katanya.

Dalam majlis itu, sebanyak 130 buah komputer riba dengan nilai keseluruhan berjumlah RM256,100 diagihkan kepada mahasiswa dari keluarga fakir dan miskin di lapan buah universiti tempatan di sini.

Mereka adalah mahasiswa tajaan LZS yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) yang mendapat keputusan GPA atau CGPA 2.5 ke atas.

Bantuan komputer riba ini diberikan sebagai kemudahan tambahan kepada mereka selain menerima bantuan sara diri sebanyak RM3,000 setahun termasuk pembiayaan yuran pengajian oleh LZS.

Sehingga September 2014, sejumlah 6,227 orang mahasiswa asnaf fakir dan miskin dibiayai LZS untuk melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS seluruh negara melibatkan pengajian dari peringkat sijil hingga ke doktor falsafah.

Manakala di bawah Program Pembangunan Pendidikan, LZS sudah mengagihkan bantuan sebanyak RM52 juta sepanjang 2013.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.