Categories
KENYATAAN MEDIA

Ucapan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Sempena Perhimpunan Bulanan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Pertama sekali bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan izin dan inayah-Nya, kita semua dapat bersama-sama berkumpul di Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan/Agensi Kerajaaan Negeri Selangor dan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Peringkat Negeri Selangor pada pagi yang mulia ini.

2. Terlebih dahulu, bagi pihak diri saya dan seluruh warga kerja Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Tuan Mohamed Azmin bin Ali atas kesudian beliau untuk hadir bersama-sama kita pada Perhimpunan Bulanan Jabatan/Agensi Kerajaaan Negeri Selangor yang pertama diadakan semenjak Yang Amat Berhormat menjawat jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu. Tidak terlewat juga kiranya saya mewakili seluruh warga kerja Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan tahniah di atas pelantikan Yang Amat Berhormat sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang ke-15 pada 23 September yang lalu.

ILTIZAM PERKHIDMATAN SELANGOR

3. Sesungguhnya kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar pada pagi ini menunjukkan keprihatinan Yang Amat Berhormat terhadap perkhidmatan awam yang semestinya mendorong kami untuk terus bekerja dengan penuh iltizam dan bersungguh-sungguh dalam memberikan penyampaian perkhidmatan awam yang terbaik kepada rakyat jelata.

4. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang turut hadir pada majlis ini sebagai tanda sokongan dan prihatin terhadap perkhidmatan awam di negeri Selangor ini. Selain itu, saya juga ingin mencgucapkan tahniah kepada Yang Berhormat sekalian atas pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan yang baharu ini. Semoga kerjasama dan hubungan baik yang terjalin di antara kita semua dapat dikekalkan bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan meneruskan kemajuan di negeri yang kita kasihi ini.

5. Saya suka menegaskan dalam perhimpunan pagi ini bahawa seluruh penjawat perkhidmatan awam di negeri Selangor ini akan memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Segala dasar yang diperkenalkan oleh pucuk kepimpinan negeri akan dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi. Sebagai penjawat awam, kita berkhidmat untuk kerajaan hari ini (to serve the government of the day) dan perlulah mengekalkan prinsip profesionalisme dan berkecuali dalam menjalankan tugas dan menunaikan tanggungjawab yang diberikan. Seharusnya kita mengetepikan fahaman politik apabila menjalankan tugas dan menunaikan amanah dengan penuh suci hati. Pemimpin datang bersilih ganti namun komitmen kita sebagai penjawat awam perlulah tetap konsisten malahan boleh ditambah baik lagi dari semasa ke semasa. Ibarat aur dengan tebing, kita semua perlulah memberikan sokongan dan kerjasama bagi memastikan rakyat dapat menikmati hasilnya dengan perkhidmatan terbaik yang diberikan.

6. Pada zaman yang semakin canggih ini,saya suka mengingatkan kepada semua penjawat awam Negeri Selangor supaya meningkatkan kualiti perkhidmatan setanding dengan taraf negeri maju yang telah kita capai. Kita juga harus komited untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin bertambah. Masyarakat sekarang lebih bermaklumat dan berpengetahuan tinggi. Mereka lebih sedar tentang hak-hak mereka dan kewajipan kerajaan selain mengetahui saluran-saluran yang boleh diakses sekiranya perkhidmatan yang diberikan oleh kita tidak memuaskan hati mereka. Sebagai pembayar cukai, mereka berhak untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dan profesional daripada kita.

7. Usaha-usaha penambahbaikan mutu perkhidmatan awam hendaklah dilaksanakan secara berterusan selaras dengan tuntutan pelanggan. Proses dan prosedur kerja yang lapuk harus dikaji semula selari dengan peredaran semasa tanpa membelakangkan peraturan yang sedang berkuatkuasa. Penambahbaikan mutu perkhidmatan ini amat penting supaya proses-proses yang tidak relevan patut dihapuskan. Oleh itu, kita perlulah berusaha untuk menjadi lebih inovatif dan kreatif dalam menambah baik perkhidmatan sedia ada.

8. Walaupun pelbagai inovasi telah kita laksanakan dalam menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat, namun begitu kita pastinya tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Masih terdapat rungutan dan aduan oleh rakyat terhadap perkhidmatan awam ini. Perkhidmatan awam masih lagi dianggap sebagai birokratik, lembab, tidak mesra pelanggan dan tidak responsif kepada keluhan rakyat. Persepsi negatif tersebut sedikit sebanyak dipengaruhi oleh prejudis lama tetapi berasaskan kenyataan semasa. Masih banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki. Oleh itu, kita perlulah berusaha untuk memperbaiki diri dengan mengubah sikap dari yang negatif kepada positif. Selain itu, sebagai penjawat awam, kita perlulah membudayakan nilai-nilai murni dan mengekalkan nilai integriti yang tinggi supaya kita memperoleh rasa hormat di kalangan pucuk kepimpinan dan rakyat.
9. Bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Negeri Selangor pada tahun ini, kita perlulah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memartabatkan Bahasa Melayu terutamanya dalam sektor perkhidmatan awam. Selain dapat menguatkan rasa cinta kita kepada negara, kita juga dapat mengukuhkan dan mengeratkan perpaduan bangsa dengan melalui bahasa kebangsaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor pada setiap tahun. Saya juga berasa amat bangga dan berterima kasih kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka, Yang Berbahagia Datuk Dr. Haji Awang Bin Sariyan yang sudi hadir pada perhimpunan kita pagi ini sebagai tanda komitmen dan sokongan kepada program ini. Semoga jalinan kerjasama dan hubungan baik yang telah terjalin dapat diperkukuhkan lagi pada masa yang akan datang. Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor ini, pelbagai aktiviti dan pertandingan telah dirancang. Saya menyeru kepada semua warga kerja Kerajaan Negeri Selangor untuk sama-sama memberikan sokongan padu dengan menyertai aktiviti yang diadakan ini. Semoga program ini dapat berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan daripada kita semua.

10. Akhir kata sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya sekali lagi mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada YAB Dato Menteri Besar Selangor, Tuan Mohamed Azmin bin Ali serta barisan kepimpinan beliau yang baharu. Insyaallah saya dan seluruh warga kerja Kerajaan Negeri Selangor akan terus memberikan sokongan padu dan kerjasama yang baik terhadap kepimpinan Yang Amat Berhormat dalam memastikan segala perancangan untuk memajukan negeri Selangor ini terlaksana dengan jayanya. Semoga kepercayaan dan keyakinan YAB Dato Menteri Besar tetap teguh bersama kami. Saya juga mengharapkan komitmen yang tinggi dan kerja keras daripada seluruh agensi kerajaan negeri supaya perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri Selangor dapat diberikan.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published.