Categories
SELANGOR

Walaupun Azmin sibuk tugas MB namun tetap buat kerja rumah- Isteri

Oleh: LIZAWATI MADFA

AMPANG, 20 OKT: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali bukan sahaja komited kuat bekerja sebagai wakil rakyat diluar, tetapi beliau juga rajin membantu kerja-kerja di rumah.

Isterinya, Shamsidar Taharin menyifatkan Mohamed Azmin sebagai seorang yang kuat bekerja serta suka melakukan dan menyiapkan kerjanya sendiri.

mbbaru5Katanya, itu sifat semulajadi Mohamed Azmin yang sangat disenanginya kerana Mohamed Azmin merupakan seorang yang sukakan kekemasan dan kesempurnaan.

“Beliau seorang yang ‘hands-on’ sehingga saya juga jarang disuruh buat kerja-kerja rumah, beliau sendiri boleh ambil ‘vacuum’ dan lakukan tugasan membersihkan rumah terutama di hari raya.

“Sekiranya beliau ada kelapangan di rumah, dia boleh sahaja lakukan semuanya tanpa disuruh atau diminta, itulah Azmin,” cerita Shamsidar kepada Selangor Kini.

Beliau ditemui selepas majlis sumbangan Deepavali Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini.

Mengulas lanjut, Shamsidar bagaimanapun tidak melihat pelantikan Mohamed Azmin sebagi Dato’ Menteri Besar menjarakkan hubungannya bersama keluarga terutama anak-anak.

Katanya, walaupun terdapat kekangan masa, Mohamed Azmin tetap bijak mencari waktu, malah hubungan kekeluargaannya juga sentiasa erat.

“Kadang-kala Azmin menganjurkan mesyuarat berkaitan kerjanya di rumah sahaja, untuk dekat dengan keluarga.

“Malah, dalam kesibukannya baru-baru ini beliau juga sempat menyambut hari jadi anaknya, walaupun bukan pada tarikh sepatutnya, ingatan dan luangan masa beliau sudah memadai.

“Beliau memang ingat tarikh-tarikh penting, lagipun dia ada enam anak, semua saling mengingati, jadi mana boleh dia tidak ingat,” selorohnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.