Categories
SELANGOR

10 tapak pelupusan sampah haram dirampas sejak 2008

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 27 NOV : Sebanyak 10 rampasan tanah sudah dilaksanakan dengan 22 notis pemulihan tanah dikeluarkan melalui Pejabat Tanah Selangor sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah negeri itu bagi mengatasi isu pelupusan tapak sampah haram.

Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah, berkata kebanyakan lokasi tapak pelupusan sampah haram dilakukan di tanah milik kerajaan seperti di ban parit Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau di tepi-tepi jalan Jabatan Kerja Raya (JKR).

grafik-DNSBeliau berkata sekiranya didapati sampah haram itu dibuang di tanah persendirian, maka Pejabat Tanah akan mengeluarkan Notis Pemulihan Tanah melalui Notis 7A Seksyen 128 Kanun Tanah Negara (KTN) kepada pemilik tanah supaya memulihkan tapak berkenaan sebelum notis rampasan tanah dikeluarkan.

“Jika tiada tindakan dilakukan, maka barulah rampasan atau pelucuthakan tanah dilakukan oleh Pejabat Tanah di bawah Seksyen 130 KTN,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Khasim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya) berhubung pelan jangka panjang untuk mengatasi isu sampah haram di Selangor.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan berhubung anggaran jumlah kos PBT dalam menguruskan sampah pukal dan haram pada tahun 2014, Ean (DAP-Seri Kembangan) berkata ia adalah sebanyak RM4.87 juta.

Bagaimanapun katanya Kerajaan Selangor bercadang untuk mewujudkan pelan tindakan jangka panjang bagi tempoh tiga hingga 20 tahun dalam pengurusan sisa pepejal di negeri itu.

Katanya, antara tindakan itu adalah menjalankan kajian melalui syarikat PE Research Sdn Bhd bagi menyediakan Pelan Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu Negeri Selangor yang akan menentukan kaedah pengurusan dan pelupusan yang efektif.

Selain itu, katanya Enakmen Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam negeri Selangor turut digubal.

“Kerajaan Negeri turut melaksanakan pembersihan awam secara in-house di pihak berkuasa tempatan (PBT) secara berperingkat mulai tahun 2015 dan menyediakan SOP penyediaan dokumen tender serta proses pelantikan kontraktor kutipan sampah di seluruh PBT,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.