Categories
KENYATAAN MEDIA

1Bestari Net kos RM1 bilion hanya diguna 3% murid

Oleh: Zairil Khir Johari
Selama lebih satu tahun, saya telah menimbulkan kebimbangan ramai tentang pelaksanaan projek 1BestariNet untuk memasang jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di semua 10,000 sekolah di seluruh negara, serta Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) untuk tujuan pembelajaran secara atas talian.

Projek yang dilancarkan lebih dua tahun lalu itu telah melibatkan perbelanjaan lebih RM1 bilion duit rakyat, dipecahkan kepada RM663 juta bagi kontrak 2.5 tahun internet jalur lebar, RM250.3 juta untuk yuran pelesenan VLE serta RM262.8 juta untuk pengurusan dan kos penyelenggaraan.

Secara prinsip, saya tidak mempertikaikan penggunaan teknologi maklumat (IT) di sekolah, kerana ia mempunyai potensi yang luas dari segi memupuk kreativiti dan ketercapaian kepada ilmu pengetahuan yang tidak terbatas.

Namun, saya mempersoalkan tindakan melaksanakan sistem di kesemua 10,000 buah sekolah di serata negara secara serentak tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti konteks tempatan, kebolehupayaan guru dan kebolehan pelajar untuk menggunakan infrastruktur.

Namun, berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada sekolah-sekolah di seluruh negara, penggunaan sistem berteknologi tinggi ini adalah minimum.

Hal ini menimbulkan persoalan sama ada 1BestariNet akan mengalami nasib yang sama seperti projek PPSMI, di mana lebih daripada RM3 bilion telah dibelanjakan untuk perkakasan IT untuk memudahcarakan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.

Malangnya, sebahagian besar perkakasan itu tidak pernah digunakan dan dibiarkan begitu sahaja dalam bilik stor sekolah.

Berdasarkan jawapan Parlimen yang saya terima semalam, nampaknya kebimbangan saya adalah berasas. Menurut Menteri Pendidikan, sehingga kini sebanyak 8,886 sekolah telah pun dilengkapi dengan infrastruktur 1BestariNet.

Walau bagaimanapun, data untuk minggu 5 hingga 11 September 2014 menunjukkan bahawa hanya 137,237 murid telah mendaftar masuk (login) ke dalam sistem VLE. Daripada jumlah ini, hanya 76,096 atau 55 peratus telah menggunakannya untuk lebih dari 30 minit seminggu.

Dengan kata lain, selepas lebih dua tahun pelaksanaan dan ketersediaannya di 8,886 buah sekolah di seluruh negara, sistem ini hanya digunakan oleh kurang daripada tiga peratus murid.
Secara purata, ini bersamaan dengan kira-kira 15 pelajar bagi setiap sekolah. Lebih teruk lagi, jumlah murid yang benar-benar menggunakan sistem ini selama lebih dari 30 minit seminggu hanyalah 9 pelajar setiap sekolah secara purata.

Dengan angka yang mengecewakan ini, Menteri harus menjawab apakah YTL, syarikat telekomunikasi yang telah dianugerahkan projek ini, akan menerima lanjutan kontrak.

Pada masa yang sama, Kementerian juga perlu menjelaskan apakah usaha yang dirancang untuk menggalakkan penggunaan sistem ini dengan lebih meluas dan memastikan berbilion-bilion wang pembayar cukai tidak sia-sia pada satu lagi projek gajah putih.

* Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

Leave a Reply

Your email address will not be published.