Categories
NASIONAL

Anwar: Umat Islam perlu kikis sikap ‘sangat sensitif’

Oleh: NAEEM RAFFI

PETALING JAYA, 3 NOV: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan umat Islam di negara ini untuk keluar dari tekanan pengepungan mentaliti dengan mengikis sikap ‘sangat sensitif’ dalam diri.

Katanya, sikap umat Islam yang terlalu obses dengan isu agama tidak bertempat menjadikan segelintir daripada mereka terjerat sehingga memberi gambaran seperti masyarakat Islam hidup dalam ketakutan.

“Pengepungan mentaliti (siege mentality) ini membelenggu dan menjadi masalah kepada kita. Umat Islam hari ini terlalu obses memberi perhatian kepada isu seperti al-kitab (bible berbahasa melayu), pegang anjing, gereja dan kuil.

Forum bersama Anwar di One World (3)“Malangnya, pemimpin yang menyangka dirinya ulama hanya keluarkan pendirian dan pandangan mereka terhadap isu seperti ini.

“Sedangkan, disisi lain, isu ketirisan wang rakyat yang dibazirkan, urus tadbir kerajaan yang tidak telus dan hal seumpamanya tiada pula fatwa,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Dunia Demokrat Islam di Hotel One World, Bandar Utama, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Anwar menekankan pentingnya wacana dalam menggalakkan hasrat melihat keadilan, demokrasi dan kebebasan berlaku di negara ini.

Hadir sama, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali; Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar dan Pengerusi Yayasan Keamanan Sasakawa, Jiro Hanyu.

Forum bersama Anwar di One World (7)Persidangan Dunia Demokrat Islam yang berlangsung dua hari bermula 3 hingga 4 November itu akan menampilkan beberapa tokoh dan ilmuan Islam.

Forum anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) dengan kerjasama Yayasan Keamanan Sasakawa (SPF), Pusat Habibie Indonesia dan Yayasan Politik Penyelidikan Ekonomi dan Sosial (SETA) Turki dijangka akan menjadi landasan bagi pemimpin, intelektual dan profesional Islam untuk menyuarakan pandangan progresif membabitkan perkara berkenaan kebebasan, demokrasi serta keadilan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.