Categories
SELANGOR

APA KES!: Bayar cukai taksiran tapi kampung macam ‘pekan koboi’?

Oleh: Naeem Raffi

KLANG, 8 NOV : Biarpun saban tahun melunaskan cukai taksiran, namun penduduk Kampung Kota Raja Lorong 1, dekat Kampung Jawa di sini mendakwa mereka tersisih pembangunan insfrastrutktur daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Kawasan kediaman melibatkan 46 buah rumah dengan kapasiti 220 penghuni itu tidak mempunyai sistem saliran sempurna dan hanya mempunyai satu lampu jalan selain jalan utamanya rosak dan berlubang sana sini.

tinjauan4 (1)Tinjauan Selangor Kini ke lokasi berkenaan mendapat reaksi kurang senang daripada penduduk setempat berhubung perkara itu.

Kamarudin Nordin, 45 berkata ketiadaan sistem saliran betul menjadi punca utama banjir kilat di situ.

Katanya, penduduk terpaksa mengorek sendiri longkang kecil bagi mengalirkan air ke longkang besar yang terletak kira-kira 300 meter dari kampung itu.

“Longkang yang ada hari ini hasil inisiatif kami. Ia hanya longkang kampung dan sudah tentu tidak efisen, sering tersumbat dan aliran air tidak lancar.

“Hujan lebat lebih setengah jam, sudah cukup untuk berlakunya banjir kilat dan perkara ini sekian lama ditanggung oleh kami,” jelasnya.

tinjauan1Menurut beliau, pihaknya telah beberapa kali memanjangkan aduan berkenaan kepada MPK. Namun sehingga kini, tiada tindakan diambil.

Katanya, kejadian banjir kilat bertambah serius apabila wujudnya kawasan perumahan dan stesen minyak dihadapan kampungnya.

“Perumahan dan stesen minyak dibina atas tambakan yang tinggi, apabila hujan lebat berlaku limpahan air akan turun terus ke kampung dan jika nasib tidak baik, dapur dan ruang tamu akan dimasuki air,” katanya.

Rungutan yang sama turut dikongsi Saad Ismail, 50 yang kini ruang tamu rumahnya dibiarkan kosong tanpa perabot dan sofa ekoran banjir kerap memasuki rumahnya.

tinjauan5 (1)Katanya, jalan berlopak di hadapan rumahnya juga bukan sahaja menjadi lecah apabila musim hujan, malah air kotor dari lopak air itu kerap memasuki rumahnya apabila kenderaan melalui kawasan itu.

“Kami tidak faham mengapa aduan kami tidak diambil tindakan sedangkan kami tidak pernah terlepas dari membayar cukai (Taksiran dan Pintu) setiap tahun.

“Selain menjadi lopak air, jalan berlubang itu juga membahayakan pengguna jalan disini,” katanya yang telah menghuni dikampung tersebut lebih lapan tahun.

Selangor Kini difahamkan, kali terakhir jalan itu diturap 18 tahun dahulu.

Sementara itu, Zulkarnain Samah, 39 berkata kekurangan lampu jalan di kawasan kampungnya juga mendatangkan kerisauan kepada penduduk khususnya dari aspek keselamatan.

“Bila malam, kawasan kampung ini gelap, penduduk dan pengguna jalan perlu berhati-hati.

“Kes pecah rumah juga kerap berlaku dan rumah saya dua kali dimasuki pencuri,” katanya.

Usaha untuk menghubungi MPK bagi mendapatkan respon berhubung perkara itu sedang diusahakan dan MPK akan memberikan reaksi dalam masa terdekat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.