Categories
SELANGOR

APA KES?: Petugas kaunter JKM kasar, Exco tunggu laporan penuh

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 NOV: Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi akan meneliti laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor berhubung dakwaan layanan kasar terhadap seorang pelanggan oleh petugas kaunter JKM Hulu Langat seperti tersebar di internet.

Pegawai Medianya memberitahu Selangor Kini, laporan itu diperlukan bagi membolehkan suatu tindakan dan ulasan yang adil diberikan kepada semua pihak terlibat.

JKM peduliSementara itu, usaha Selangor Kini mendapatkan reaksi Pengarah JKM Selangor, Nik Omar Nik Ab Rahman gagal selepas dimaklumkan beliau sedang menghadiri satu mesyuarat penting di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam.

Selepas tidak berpuas hati dengan layanan kasar diterimanya, seorang pelanggan yang datang untuk membantu nenek beliau mendapatkan bantuan JKM bertindak mengambil gambar petugas terbabit sebelum memuat naik di laman sosial facebook.

“Aku penjawat awam juga tapi belum pernah layan orang awam macam tu dan sepatutnya kau kerja JKM, namanya pun Jabatan Kebajikan Masyarakat, tak suka tolong orang, baik kau pergi kerja Jabatan Perhilitan aje,” tulisnya.

Tindakan itu mendapat reaksi spontan ribuan pengguna facebook lain dengan melahirkan perasaan marah kepada kakitangan terbabit.

Lebih menarik lagi, apabila salah seorang komentar yang mengaku bekerja di Jabatan Perhilitan dalam komennya menulis “Kami di Jabatan Perhilitan tidak memerlukan kakitangan seperti ini. Sekian.”

Selain itu, kakitangan awam lain turut menjadi mangsa cemuhan orang ramai ekoran dengan pelbagai persepsi negatif.

Antaranya tuduhan beberapa orang pengguna facebook yang mendakwa kakitangan awam hanya pandai meminta bonus sedangkan tidak berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing.

Beberapa pengguna facebook lain pula melabelkan kakitangan awam sebagai malas dan tidak berusaha kerana bertugas dengan menggunakan konsep ‘hujung bulan tetap dapat gaji’.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.