Categories
KENYATAAN MEDIA

Apa sudah jadi dengan siasatan terhadap Tun Daim Zainuddin?

Oleh: Shamsul Iskandar Mohd Akin

Saya mengalu-alukan tindakan agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras rasuah sehingga ke akar umbi.

Tindakan terbaru SPRM melalui kenyataan media Pengarah SPRM Terengganu, Tuan Zainal Bin Adam baru-baru ini yang mengumumkan penahanan 23 kontraktor kelas F yang dilantik di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan bagi Parlimen Dungun dan Paka sangat dialu-alukan.

daim27833e07bc50ed0a1f41624f47b8980dSeterusnya pada bulan September 2014 yang lalu, Panel Penilaian Operasi (PPO) telah mengeluarkan arahan untuk SPRM membuka semula siasatan sejak tahun 2009 sehingga menyebabkan secara keseluruhannya 289 orang telah diheret ke mahkamah tahun lalu.

Daripada jumlah itu, secara pecahannya 119 ialah penjawat awam, 117 orang awam, 52 sektor swasta dan satu daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sementara kami alu-alukan tindakan agresif SPRM lewat kebelakangan ini, kami juga ingin memberikan peringatan kepada SPRM agar tidak hanya bertumpu siasatan kepada suspek perasuah “anak-anak ikan”.

Yang sepatutnya diberikan tumpuan utama ialah siasatan terhadap perasuah ataupun suspek perasuah yang boleh digelar “jerung-jerung besar.”

Ketika saya menjawat jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan pada awal tahun ini, saya telah membuat laporan kepada SPRM untuk memulakan siasatan terhadap bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin yang disyaki mempunyai kekayaan luar biasa.

YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara terbuka telah membuat dakwaan bahawa Tun Daim Zainuddin mempunyai wang mencecah wang berbillion-billion ringgit di dalam bank di Afrika dan Eropah Timur dengan menggunakan proksi bagi mengaburi salahlaku tersebut.

Malah, seperti yang dilaporkan blog pro kerajaan, Tun Daim tidak menafikan dakwaan ini dengan kenyataan; “Dia (Anwar) ketika itu berjumpa dengan Presiden Tanzania dalam sesi pelaburan dan bertanya tentang aset saya. Presiden itu berkata, memang saya ada bank di Tanzania, jadi apa masalahnya ?”

Pendedahan Dato’ Seri Anwar ini tentunya konsisten dengan laporan polis yang telah beliau kemukakan pada 30 Jun 1999 [ruj:LAPORAN POLIS TUN HS LEE 20455/99] yang bukan sekadar mendedahkan perihal rasuah tersebut, tetapi juga turut mengemukakan bukti iaitu tiga pucuk surat yang masing-masing di tulis oleh Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Tan Sri Wan Azmi Hamzah.

Malangnya sehingga kini, kami masih lagi menunggu maklum balas daripada SPRM sama ada siasatan telah dimulakan terhadap laporan yang telah dikemukakan.

Tiada laporan berita ataupun kenyataan media oleh SPRM yang dibuat setakat ini memaklumkan bahawa Tun Daim Zainuddin telah dipanggil untuk disiasat.

Saya mendesak SPRM untuk segera memulakan siasatan terhadap Tun Daim. Saya juga meminta secara rasmi agar Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang untuk turut memainkan peranan agar jerung jangan dibiar berenang bebas di saat ikan bilis dipukat rakus.

*Shamsul Iskandar Mohd Akin adalah Ahli Parlimen Bukit Katil

Leave a Reply

Your email address will not be published.