Categories
SELANGOR

Bangunan Yayasan Selangor Bukit Bintang untuk sewaan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 27 NOV : Kerajaan Negeri belum mempunyai keputusan muktamad berhubung pembangunan premis Yayasan Selangor (YS) di Bukit Bintang yang ditutup selepas proses naik taraf.

Sebaliknya, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata bangunan itu akan dibuka semula kepada peniaga untuk sewaan jangka pendek sehingga pembangunan semula selesai dilakukan.

grafik-DNS“Keutamaan akan diberikan kepada peniaga asal yang berniaga di kawasan itu,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memaklumkan pihaknya masih menunggu tawaran harga terbaik bagi tujuan penyewaan bangunan berkenaan melalui proses tender terbuka bagi memastikan bayaran pulangan yang diterima negeri adalah tinggi.

Sementara itu, beliau berkata Yayasan Selangor tidak lagi memberi pinjaman pendidikan sejak 2013 kerana memfokuskan untuk memberi biasiswa kepada peringkat sekolah rendah dan menengah selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada ketika itu.

Katanya kemudahan pinjaman diambil alih Kerajaan Negeri melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa negeri Selangor.

“Peruntukan pinjaman tabung ini sebelum ini hanyalah RM8 juta dan selepas diambil alih peranan yayasan, ia dikembangkan menjadi RM16 juta setiap tahun,” katanya yang juga Adun Seri Setia.

Berhubung pembangunan Asrama Toh Puan Norasyikin dan Asrama Tun Dr Ismail di Kampung Pandan, beliau berkata lembaga pemegang amanah memutuskan untuk menangguhkan projek berkenaan bagi meneliti lebih mendalam projek pembangunan yang akan dicadangkan.

Katanya ia bagi memastikan kepentingan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri serta masyarakat bumiputera adalah terjamin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.