Categories
NASIONAL

Banjir kian teruk, UMT umum cuti bencana

KUALA TERENGGANU, 20 NOV: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini mengumumkan cuti bencana bagi pelajar dan kakitangannya setelah ia dilanda banjir awal pagi tadi.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata sehingga kini para petugas di bahagian keselamatan UMT masih berusaha menyelamatkan pelajar dan kakitangan yang terperangkap di kompleks kuliah dan bangunan lain.

10356166_10152798368937052_5582041365626468417_n“Ada antara mereka yang tiba di universiti sejak awal pagi. Jadi mereka kini berada dalam kompleks kuliah dan tidak boleh turun. Namun jumlah sebenar mereka masih belum diketahui.

“Bagi mereka yang datang ke universiti selepas itu, semuanya telah berpatah balik setelah mendapati UMT ditenggelami air,” katanya dipetik Bernama.

Setakat ini dilaporkan sebanyak 30 orang pelajar dan kakitangan telah berjaya dipindahkan ke asrama pelajar.

Ibrahim berkata pintu masuk utama ke UMT telah dinaiki air setinggi 0.63 meter setakat 10.30 pagi tadi dan ia kian meningkat.

“Saya dimaklumkan paras air meningkat agak cepat di mana ketika banjir awal pagi tadi, ketinggiannya hanya mencecah 0.4 meter.

“Kira-kira 12 petugas di bahagian keselamatan kini sedang memantau tahap keselamatan warga universiti dan semuanya berjalan lancar setakat ini,” katanya.

Pelajar dan kakitangan dinasihati agar berhubung dengan pentadbiran universiti untuk mengetahui perkembangan semasa banjir.

Sementara itu, Pengarah Operasi Banjir PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, setakat ini kawasan Kuala Nerus paling terjejas teruk sementara daerah Setiu, Marang, Besut, Hulu Terengganu pula dalam keadaan amaran peringkat merah.

“Banyak kawasan yang tak pernah dinaiki air pada tahun-tahun yang lalu telah ditenggelami air.

“Kita menjangkakan dengan keadaan hujan lebat yang berterusan, bencana banjir akan menjadi lebih buruk,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, semua Bilik Gerakan Banjir Kawasan telah diarahkan mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir masing-masing 24 jam.

Mereka dikehendaki membuat pemakluman laporan keadaan semasa secara berkala kepada Bilik Gerakan Banjir Negeri.

“JK Operasi Banjir PAS Terengganu akan terus turun ke medan pagi ini untuk pemantauan secara dekat situasi dan perkembangan semasa serta menyalurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.