Categories
NASIONAL

Buku dikenakan GST bebankan pelajar

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 NOV : Pengecualian cukai barangan dan perhidmatan (GST) yang terhad ke atas beberapa buah buku sahaja jelas mengelirukan orang ramai dan akan menjejaskan golongan pelajar sekiranya ia dilaksanakan kelak.

GST Grafik BaruTinjauan Selangor Kini di sekitar Shah Alam mendapati kebanyakan pelajar ditemui melahirkan rasa kurang senang dan tidak bersetuju sekiranya pengecualian terpilih itu dilakukan terhadap pembelian buku akademik.

Seorang pelajar, Izzul Ikram Anwar, 23, berkata golongan sepertinya pasti paling terjejas teruk sekiranya GST dikuatkuasakan terhadap pembelian buku mulai tahun depan.

GSTBeliau yang akan menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda pada tahun depan merasakan langkah itu tidak wajar.

Katanya ia akan membebankan golongan pelajar termasuk ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membiayai pembelian buku anak-anak.

“Sepatutnya kesemua jenis buku harus dikecualikan daripada pengenaan GST kerana ia pasti lebih membebankan golongan pelajar yang memerlukan perbelanjaan besar untuk melanjutkan pengajian.

“Buku akademik juga dijual pada harga yang tinggi di pasaran, jadi apabila ditambah dengan GST maka nilai buku itu akan meningkat dan menjejaskan perbelanjaan kami sebagai pelajar,” katanya.

GST1Seorang pelajar kolej swasta, Sharifah Munirah Tuan Syed Karami, 22, pula berpendapat amat tidak wajar sekiranya Kerajaan Pusat tetap berdegil untuk mengenakan GST ke atas penjualan buku di pasaran.

Katanya kos sara hidup yang semakin tinggi ditambah dengan kenaikan harga barangan memberi kesan kepada perbelanjaan hariannya yang terhad sebagai seorang pelajar.

“Wang saku bulanan yang saya perolehi dari ibu bapa agak terhad dan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan makan dan minum harian saya.

“Jika ditambah lagi dengan GST pada buku, memang akan terasa sebab baucar buku yang diberikan kerajaan sendiri tidak besar nilainya, hanya cukup untuk membeli dua atau tiga buah buku sahaja,” katanya.

GST2Kenyataan itu turut disokong Nur’amirah Mohd Fauzy, 23, yang berpendapat Kerajaan Pusat perlu mencari alternatif lain sekiranya tetap mahu melaksanakan GST ke atas pembelian buku pada tahun depan.

“Kalau nak harapkan baucar buku dengan nilai RM250 itu sahaja sudah tentu tidak mencukupi, jadi saya berharap pihak kerajaan perlu lebih peka dengan menambah lagi peruntukan untuk pembelian buku atau jangan kenakan langsung GST kerana ia menjejaskan pelajar,” katanya.

Kerajaan Pusat patut mengecualikan GST ke atas semua buku dan tidak mengehadkannya kepada buku teks, buku latihan, kamus dan buku kanak-kanak sahaja.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata pengecualian terpilih itu mengelirukan orang ramai dan terdedah kepada salah guna akibat kekeliruan pengkelasan buku.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.