Categories
SELANGOR

DNS kaji bayaran gaji bekas Adun digantung

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 NOV: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh berkata pihaknya bersedia untuk mengkaji bayaran gaji bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang pernah digantung tanpa gaji sebelum ini semasa sidang dewan.

Beliau berkata keputusan itu adalah susulan kemenangan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo di Mahkamah Persekutuan berhubung tuntutan gaji sebagai wakil rakyat semasa digantung.

hannahKatanya, berdasarkan laporan penggantungan sebelum ini, seramai tujuh orang Adun pernah digantung dan tidak menerima gaji antara enam hingga 18 bulan.

“Memang pihak Eksekutif bersedia untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tetapi keputusan ini perlu dibuat oleh legislatif.

“Oleh itu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan beliau akan pulangkan kepada legislatif untuk mengkaji hal ini iaitu di bawah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Kami hanya boleh bermesyuarat selepas sidang dewan tamat, jadi dalam jangka masa paling pendek selepas sidang dewan tamat, kami akan bermesyuarat untuk melihat kes yang telah dibangkitkan dalam sidang dewan,” katanya.

Hannah berkata dalam kes ini, apabila sesuatu keputusan dicapai di antara Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, ia akan dibawa dalam sidang DNS akan datang iaitu pada Mac 2015.

“Dalam bulan Mac baru kita akan tahu gaji mereka akan dibayar atau tidak.

“Memang kami menghormati keputusan YB Gobind, tetapi jawatankuasa hak dan kebebasan yang dipengerusikan saya perlu bermesyuarat untuk mendapatkan keputusan bersama,” katanya yang juga Adun Subang Jaya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Parlimen membayar gaji dan imbuhan yang ditahan dari Gobind Singh Deo semasa beliau digantung selama setahun pada 2009.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.