Categories
SELANGOR

Exco FAS setuju Mohamed Azmin Presiden baru

SHAH ALAM 20 NOV: Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebulat suara bersetuju melantik Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebagai Presiden FAS baru.

Memetik laman web Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), namun pelantikan Mohamed Azmin itu hanya akan disahkan dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Kelab Shah Alam, 3 Disember ini.

fas_logoIa selepas notis 14 hari memanggil wakil kelab-kelab gabungan FAS untuk menghadirinya mula dikeluarkan.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa eksekutif itu berkata, proses peralihan kuasa itu dipersetujui Presiden FAS ketika ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Perkara itu diselesaikan dengan baik. Tan Sri Khalid selaku Presiden FAS ketika ini turut bersetuju dan meminta usah kecoh-kecoh mahukan beliau untuk berundur (meletak jawatan).

“Secara automatik juga beliau menasihatkan supaya transisi atau peralihan kuasa ini berlaku dengan cantik.

“Jadi semua exco (ahli jawatankuasa eksekutif) telah sebulat suara bersetuju memilih Azmin sebagai presiden baharu dan ia turut dipersetujui Khalid sendiri,” kata Abdul Mokhtar.

Abdul Khalid dipilih sebagai Presiden FAS pada2008 selepas beliau dilantik menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Dr Mohamad Khir Toyo.

Selepas mengharungi satu penggal, Abdul Khalid kekal dipilih sebagai Presiden FAS bagi penggal 2014-2018 tetapi peralihan kuasa Kerajaan Selangor menyaksikan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan digantikan dengan Mohamed Azmin.

Azmin, 50, bagaimanapun perlu menunggu sehingga 3 Disember ini sebelum beliau disahkan sebagai Presiden FAS yang baru.

“Apa yang dipersetujui dalam mesyuarat exco ini akan dibawa ke kongres EGM pada 3 Disember ini selepas pihak FAS mengeluarkan notis 14 hari memanggil kelab-kelab gabungan untuk kita mengesahkan pelantikan Azmin ini,” jelas Abdul Mokhtar.

Ditanya adakah Mohamed Azmin bersetuju untuk memegang jawatan berkenaan, Abdul Mokhtar berkata,” Memang dalam Statut FAS pun ada menyatakan keutamaan diberikan kepada Menteri Besar untuk dilantik sebagai presiden.

“Ia juga sudah menjadi kelaziman dan secara tradisinya dalam FAS,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.