Categories
SELANGOR

Golongan OKU perlu dibawa dalam arus pembangunan

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 5 NOV: Karnival OKU anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) yang julung kali diadakan baru-baru ini nyata mendapat sambutan luar jangkaan dengan jumlah penyertaan yang menggalakkan.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, penganjuran karnival itu membuktikan MDKL tidak pernah meminggirkan golongan orang kelainan upaya (OKU).

MDKLKatanya, golongan OKU juga berhak mendapat peluang seperti mana dinikmati golongan normal lain.

” Mereka harus dibawa ke tengah-tengah arus pembangunan dan tidak sepatutnya disembunyikan atau dipinggirkan yang kemudiannya menjadi penonton dan penumpang dalam masyarakat.

“Penglibatan dan gabungan semua pihak sama ada kerajaan mahu pun pihak swasta amat diperlukan bagi membangunkan warga OKU ini.

“Tanggungjawab untuk membangunkan OKU perlu dipikul oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Karnival yang berlangsung pada 1 November lepas antara lain mengetengahkan pertandingan bocce yang mirip sukan petanque dan boling padang.

Para peserta juga berpeluang menyertai pertandingan bola sepak yang menjadi medan pemilihan pemain-pemain yang akan mewakili Malaysia ke 1st. Special Olympics World Cup 11 A Side Unified Team 2015.

Selain dua acara utama berkenaan, terdapat juga pertandingan mewarna, tiup tepung, boling kelapa, makan biskut, isi air dalam botol dan bawa bola ping pong dalam sudu.

Pada masa sama, Azhar menyeru warga OKU supaya berani tampil ke hadapan bagi merebut peluang yang banyak disediakan buat mereka.

“Diseru semua lapisan masyarakat supaya mendaftarkan anak-anak atau anggota keluarga OKU mereka kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Diharap swasta juga dapat tampil membantu golongan OKU ini dari segi memberi mereka peluang-peluang untuk mengikuti latihan kemahiran dan peluang pekerjaan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.