Categories
KENYATAAN MEDIA

Kekal Akta Hasutan: Najib kembali masuk ke ‘Gua’

Oleh: Suhaizan Kaiat

Respon berapi-rapi Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Dato’ Sri Najib Tun Razak untuk tidak hanya mempertahan Akta Hasutan, bahkan akan diperkuat dan diperkukuhkan, langsung mengundang tepukan gemuruh anggota perwakilan UMNO.

Kegembiraan anggota perwakilan UMNO terhadap pengekalan akta drakonian ini sememangnya sudah dijangka umum memandangkan selama ini, akta inilah yang sering disalahguna untuk menutup mulut rakyat dan memenjarakan aktivis oposisi yang kritikal terhadap pimpinan negara yang diketuai oleh UMNO.

najib wanita umnoTidak sekadar itu, pendakwaan terpilih melalui akta ini tidak hanya melibas batang tubuh pihak yang terlibat secara langsung dalam perlawanan di pentas politik, namun ahli akademik, aktivis NGO, mahasiswa dan anak muda turut dimangsa dan diheret ke mahkamah dengan akta ini!

Jika kenyataan ini keluar daripada mulut PERKASA atau pemimpin bawahan UMNO mungkin tiada siapa yang ambil peduli.

Namun tatkala penegasan ini keluar daripada mulut pemimpin yang cuba digambarkan sebagai ‘wasatiyah’ atau moderat, Najib secara jelas kembali mengheret negara jauh ke belakang seolah-olah cuba untuk kembali masuk ke ‘gua’ dan hidup di era primitif!

Walau ramai pemerhati faham bahawa Najib mungkin terdesak meraih sokongan perwakilan UMNO kerana disaingi rapat oleh Timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin sedari awal lagi, namun untuk merisikokan masa depan negara hanya semata-mata mengejar kedudukan politik dalam parti merupakan langkah yang langsung tidak bertanggungjawab.

Justeru Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengutuk pendirian dangkal Presiden UMNO ini dan bangkit agar Akta Hasutan dan juga akta-akta drakonian lainnya juga di’bakulsampah’kan dalam menempa sejarah baru untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.

*Suhaizan Kaiat adalah Ketua Pemuda PAS

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.