Categories
SELANGOR

APA KES?: Kemudahan sukan lasak Selangor terhad, reka bentuk ketinggalan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 NOV: Kurangnya penyediaan kemudahan yang bersesuaian bagi sukan lasak di Selangor sedikit sebanyak menjejaskan minat orang awam untuk melakukan aktiviti berkenaan pada masa senggang.

Tinjauan Selangor Kini di sekitar kawasan Shah Alam mendapati kebanyakan penggemar sukan lasak yang terdiri dari kalangan anak muda berpendapat kemudahan yang disediakan di negeri itu tidak diselenggara dengan baik.

Pekerja swasta, Nor Fadhly Mohd Ariff, 25, berkata bukan sahaja persekitarannya masih sama, namun fasiliti untuk penggemar sukan lasak seperti basikal, papan selaju dan kasut roda berada dalam keadaan tidak memuaskan serta tidak memenuhi spesifikasi mereka yang gemarkan aktiviti itu.

DSC_7875Mengambil contoh Taman Sukan Lasak di Seksyen 13, Shah Alam, katanya, kemudahan yang disediakan bukan sahaja terhad tetapi tidak sesuai bagi orang ramai untuk melakukan aktiviti sukan pada waktu malam terutama ketika hujan.

“Tidak dinafikan kemudahan sedia ada memberi peluang kepada anak muda untuk melakukan aktiviti sukan dan riadah, tetapi bagi saya ia belum berada pada tahap memuaskan.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyelenggara serta menaik taraf kemudahan ini dengan baik bagi menjaga imej Selangor terutama Shah Alam yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Pelajar, Luqman Hakim, 15, yang gemar melakukan aktiviti sukan lasak berpendapat kemudahan yang ada perlu diberi perhatian serius serta memperbaiki reka bentuknya yang agak ketinggalan.

DSC_7927Dia yang hampir setiap hari singgah bermain papan selaju bersama rakannya terpaksa mengambil inisiatif sendiri bermain di tepi jalan untuk mencabar kemampuan diri.

“Adakala, saya dan rakan terpaksa menunggu giliran untuk bermain papan selaju disebabkan kemudahan tidak mencukupi terutama hujung minggu.

“Disebabkan itu, kami terpaksa mencari alternatif sendiri seperti bermain di tepi jalan dan koridor kedai, namun risiko keselamatan perlu ditanggung sendiri,” katanya.

DSC_7953Berbeza pula dengan pekerja awam, Shahriza Abdul Halim, 27, yang berpendapat kemudahan sukan lasak yang ibina di Selangor antaranya Petaling Jaya dan Puchong berada di tahap memuaskan tetapi kurang diberi publisiti.

Bagaimanapun, katanya, gelanggang sukan lasak sedia ada boleh diperbaiki dan dinaik taraf dari masa ke masa bagi memastikan lebih ramai penggemar sukan serta pengunjung boleh melakukan aktiviti yang digemari.

“Jika pihak berkenaan mahu menaik taraf kemudahan sukan itu, pelbagai perkara perlu ditambah untuk mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Selain itu, kemudahan sukan lasak di luar bandar juga perlu diberi perhatian kerana minat orang ramai terhadap sukan ini sangat meluas terutama di kalangan remaja,” katanya.

DSC_7892Bagaimanapun, masalah ini dijangka tidak berlarutan apabila Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari juga memberi tindak balas positif serta berharap Kerajaan Negeri tidak terlepas membangunkan kemudahan sukan lasak yang ada di negeri itu seiring dengan pembangunan sukan lain.

Katanya, kewajaran memartabatkan aktiviti sukan lasak perlu ada kerana ia merangkumi pembangunan jati diri, pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat khususnya golongan belia.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.