Categories
KENYATAAN MEDIA

Ketua Audit Negara & Gabenor Bank Negara patut siasat 1MDB

Oleh: Rafizi Ramli

Saya telah mengajukan 4 soalan rasmi bagi siding Dewan Rakyat kali ini untuk mendapat maklumat lanjut mengenai pelaburan 1MDB dari Dato’ Seri Najib Tun Razak. Hari ini, saya mendapat jawapan dari Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi soalan no. 38 yang saya ajukan.

Malangnya, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak memberi sebarang jawapan malah menyalin bulat-bulat (“copy and paste”) perenggan yang sama dalam soalan-soalan lain berhubung 1MDB setakat ini. Jawapan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai perkara ini adalah seperti di bawah yang diulang dalam soalan-soalan lain:

“1MDB memastikan fi dan perbelanjaan adalah dinyatakan dengan betul di dalam penyata kewangan yang telah diaudit. Apa-apa maklumat lain yang telah dinyatakan di dalam penyata kewangan adalah milik persendirian (proprietry) syarikat”

Keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak memberi maklumat mengenai pelaburan 1MDB adalah satu penghinaan kepada Dewan Rakyat. Namun, perkara yang lebih membimbangkan saya ialah keengganan itu memberi gambaran ada sesuatu yang perlu disembunyikan.

Oleh kerana skandal 1MDB ini membawa risiko besar kepada kedudukan kewangan negara dan Dato’ Seri Najib Tun Razak menyembunyikan maklumat dari rakyat, saya percaya masanya telah tiba supaya institusi-institusi utama negara mengambil tindakan untuk campur tangan dalam menentukan di mana dan ke mana dana rakyat yang diambil 1MDB ini.

Maka, pada hari ini saya akan menulis secara rasmi kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk memulakan siasatan ke atas 1MDB bagi menentukan apakah risiko yang dibawa oleh 1MDB kepada tanggungan hutang Kerajaan Persekutuan setakat ini, mengambil kira prestasi kewangan 1MDB setakat ini.

Saya juga akan menulis secara rasmi pada hari ini kepada Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz supaya memulakan siasatan terhadap aliran dana dan pemindahan dana keluar masuk negara yang melibatkan 1MDB mengikut peruntukan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act).

Mengikut peraturan anti-penggubahan wang haram (anti money laundering) yang diterima pakai secara bersama di seluruh negara, sebarang aliran dan pemindahan wang keluar masuk sesebuah negara perlu diisytiharkan dengan maklumat terperinci mengenai latar belakang pemindahan itu seperti dari mana wang itu datang, siapa yang menguruskan wang itu, syarikat mana terbabit, untuk apa wang itu digunakan dan lain-lain.

Saya yakin Tan Sri Zeti Akhtar Aziz akan membuat tindakan yang betul dengan menyiasat dan mengumumkan butiran dana 1MDB yang sebelum ini sering kali dipindahkan ke seluruh dunia.

Jika saya tidak mendapat sebarang maklumat dari Bank Negara Malaysia, saya akan membuat permohonan rasmi kepada badan-badan serupa di Hong Kong, Singapura dan Switzerland agar siasatan rasmi di bawah peraturan anti-penggubahan wang haram (anti money laundering) juga dimulakan di negara-negara ini terhadap 1MDB.

Saya akan mengedarkan surat-surat yang dihantar kepada Ketua Audit Negara dan Gabenor Bank Negara Malaysia menjelang akhir hari ini.

* RAFIZI RAMLI adalah Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN dan Ahli Parlimen Pandan

Leave a Reply

Your email address will not be published.