Categories
SELANGOR

Kuala Langat dilanda banjir, penduduk patut lebih berhati-hati

BANTING 28 NOV : Penduduk di daerah Kuala Langat dinasihatkan bersedi menghadapi kemungkinan banjir berikutan hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini yang menyebabkan trend menaik paras air di Sungai Langat.

Peningkatan paras air yang melepasi paras normal di Sungai Langat berhampiran Bukit Changgang telah menyebabkan beberapa kawasan sekitar dilanda banjir.

IMG-20141126-WA0035Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali yang turut serta dalam kerja pemantauan kawasan banjir daerah berkata, pihak PBT bersama-sama pasukan pengurusan banjir dan Kerajaan Selangor giat menyalurkan bantuan sama ada dari segi logistik, makanan dan sanitasi demi keselesaan mangsa di pusat pemindahan banjir tersebut.

Beliau memaklumkan dalam keadaan cuaca tidak menentu, orang ramai disarankan supaya memberikan perhatian lebih terhadap aspek keselamatan dan kebersihan.

Katanya, MDKL dengan kerjasama Unit Pengurusan Bencana Pejabat SUK Selangor, Pejabat Daerah Tanah Kuala Langat (PDTKL) dan agensi-agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Jabatan Kerja Raya (JKR) mengerahkan usaha menyelaraskan bantuan segera kepada mangsa banjir di kawasan terjejas.

Pasukan menyelaras bersama situasi bencana membuka pusat pemindahan banjir di beberapa kawasan di daerah ini termasuk di Dewan Perpaduan Genting Sanyen (69 orang), Dewan Bukit Changgang (53 orang), Balai Raya Kg. Orang Asli Bukit Serdang (32 orang) dan Balai Raya Kg. Orang Asli Bukit Tadom (72 orang).

Katanya, orang ramai juga terutamanya mangsa banjir harus memastikan pengambilan makanan dan sumber air bersih mengelakkan keracunan makanan yang memburukkan keadaan.

Sementara itu, statistik daripada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) menunjukkan keadaan paras air di Sungai Langat berhampiran Bukit Changgang melebihi paras amaran iaitu 3.74 meter dan masih menunjukkan trend meningkat.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan banjir terkini menerusi laman rasmi JPS atau menghubungi JPS Careline di talian 1 300 80 1010.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.