Categories
NASIONAL

Mahfuz: Pastikan PAS releven kepada rakyat

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Jalan penyelesaian yang diambil PAS dalam menghadapi krisis dalaman sejak 63 tahun lalu merupakan salah satu bentuk ujian yang dilalui dalam menuju kematangan parti itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata soal kematangan merupakan perkara subjektif namun apa yang penting adalah PAS perlu bergerak ke hadapan seiring dengan perkembangan semasa untuk terus relevan kepada rakyat.

bicaraBercakap dalam Wacana Harakah bertajuk ‘Matangkah PAS di usia 63 tahun’ beliau berkata, sekarang bukan masanya untuk PAS menoleh ke belakang.

“Ujian untuk PAS dalam pengurusan krisis. Ini suatu peralihan dimensi dan corak pemikiran masyarakat yangg ada.

“Untuk capai 63 tahun adalah satu proses ujian. Kita juga perlu melihat kepada 63 tahun PAS untuk fasa kedua,” katanya yang merujuk kepada tempoh sama untuk masa hadapan.

Jelasnya, masyarakat hari ini mempunyai aliran pemikiran berbeza dan PAS sendiri perlu menilai soal kematangan itu dari segi cara pengendalian parti yang kini berada dalam sistem peralihan berbeza seperti zaman PAS mula ditubuhkan pada 24 November 1951.

Sebagai contoh katanya, penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang terdiri daripada golongan Bukan Islam adalah salah satu kejayaan PAS dalam membentuk lanskap politik yang lebih dinamik kepada parti itu serta konteks demokrasi Malaysia.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini turut bersetuju dengan pandangan Koordinator Lensa, Safwan Anang supaya PAS perlu memberikan lebih ruang dan mendekati anak muda.

“Anak muda perlu diberikan peluang untuk tonjolkan kebolehan kepimpinan mereka.

“Kalau kita tidak faham soal ini kita akan menjarakkan kita dengan masyarakat. Maka takut (PAS) jadi tak relevan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.