Categories
SELANGOR

MB: Cegah denggi cara “Terjah dan Musnah”

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri akan mempraktikkan kaedah “terjah dan musnah’ bagi memerangi wabak denggi yang berlaku dalam jumlah catatan membimbangkan di seluruh Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata memang menjadi fokus utama Kerajaan Negeri kerana isu terbabit memberi kesan langsung keatas keselamatan rakyat.

Katanya, satu pelan tindakan digubal bagi menanganinya selepas Kerajaan Negeri menerima laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

“Pelan tindakan ini akan membabitkan semua agensi khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan semua pihak berkaitan.

“Kita harap dengan pelancaran pelan tindakan dan kempen yang akan dibuat secara besar-besaran serta gotong royong perdana bermula 16 November depan, moga kita dapat membantu untuk mengurangkan demam denggi di Selangor,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi 2014 dan Majlis Perasmian Program Gotong-Royong Mega : “Terjah dan Musnah Aedes Negeri Selangor 2014”.

Azmin berkata, beberapa langkah sudah digariskan seperti sokongan kepada penambahan kemudahan memerangi nyamuk Aedes di peringkat daerah, mengutamakan pembersihan sisa pepejal dan penyertaan pemimpin di semua peringkat masyarakat dari sekolah hingga ke pejabat awam.

Sebelum ini dalam ucapannya, Azmin berkata, Kerajaan Negeri memberikan tumpuan terhadap kes denggi selain isu sampah, jalan berlubang dan banjir.

“Empat perkara ini mesti diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

“Walaupun pejabat saya di tingkat 21 tetapi 80 peratus kerja saya turun ke bawah untuk melihat masalah rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.