Categories
SELANGOR

MB: Jadikan sekolah aliran agama model unik dan unggul

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 NOV: Sekolah Agama Menengah (SAM) Tahfiz Aliran Sains perlu menjadi model unik dan unggul melalui pendekatan integrasi antara hafazan dan penguasaan cemerlang di dalam ilmu sains serta teknologi.

Kaedah itu harus dipraktikkan sebagai persiapan bagi melahirkan generasi ulul al-bab yang dapat melakukan keupayaan pembinaan tamadun Islam pada masa kini dan mendatang.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, iltizam semua pihak bertanggungjawab sangat diperlukan bagi menjadikan cita-cita murni itu tercapai.

Katanya, kepimpinan SAM Tahfiz Aliran Sains sewajarnya bekerja dengan lebih serius dan gigih dalam usaha untuk membudayakan Al- Quran dari segi hafazan serta kefahaman yang perlu diterjemahkan dalam pengajaran juga pembelajaran sains dan teknologi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memandang tinggi kepentingan pendidikan dalam usaha menjadikan

jais1

Selangor selaku negeri pembangunan.

“Semua aspek pendidikan dari pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah perlu dititikberatkan bagi melahirkan warga Selangor yang bukan saja bijak dan berilmu, bahkan mempunyai keperibadian terpuji serta akhlak murni.

“Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2015 sekali lagi akan memastikan pembangunan yang akan kita bina adalah dalam lensa lebih besar yang akan memberi penekanan aspek moral, kerohanian dan agama,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Sekolah-Sekolah Agama Tahfiz Aliran Sains Peringkat Kebangsaan kali ke-5, di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad; Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof D. Haji Anuar Ahmad; Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Habib Maksum dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Mohamad Amir Danhuri.

jais3Azmin berkata, idea penubuhan SAM Tahfiz Aliran Sains adalah bertujuan melahirkan saintis dan teknokrat yang bercitra Al-Quran dengan mengambil pendekatan hafazan sebagai asas utama dalam kurikulum disediakan.

Bagaimanapun, katanya, sewajarnya semua pihak berkenaan bermuhasabah diri dengan menilai kurikulum yang sedang dipraktiskan dapat menjadi asas kukuh bagi melahirkan generasi ilmuan sains tabi’ dan teknologi yang berwibawa berkarya serta mencipta produk sains juga teknologi bernilai tinggi bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kecenderungan umat Islam menghantar anak mereka memasuki institusi hafazan Al-Quran sememangnya menepati dengan amalan tradisi ulama saintis dan teknokrat seperti Ibn Sina yang menghafaz Al-Quran sejak berumur tujuh tahun serta menghafaz 5,000 hadith sahih, selain terkenal sebagai ahli perubatan dengan karya agung Qanun fi al-Tibb.

“Selain itu, tokoh Islam lain, Al-Biruni yang bukan sahaja menguasai ilmu perbandingan agama tetapi hebat di dalam ilmu geometri dan astronomi. Juga Ibn al-Haitam, seorang tokoh matametik serta al-Khawarizmi yang terkenal di dalam kajian ilmu kimia,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.