Categories
SELANGOR

MB: Penstrukturan air,tumpuan utama kurangkan kadar tidak berhasil

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 NOV: Anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Air Selangor Sdn Bhd akhirnya berjaya memuktamadkan pembelian saham dengan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, pembelian saham itu membabitkan dua syarikat pemegang konsesi air iaitu SYABAS dan PNSB.

Katanya, tindakan itu sejajar dengan syarat Perjanjian Induk Penstrukturan Air Selangor bertarikh 12 September lalu yang dimeterai antara Kerajaan Selangor, Kerajaan Persekutuan dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

air“Dengan pembelian saham ini, sebahagian besar operasi dan aset air akan kembali kepada rakyat yang membolehkan Air Selangor mula mengambil alih dan menyusun semula operasi SYABAS dan PNSB.

“Tumpuan utama akan diberikan kepada usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (non-revenue water) yang merugikan rakyat serta memastikan bekalan air mencukupi secara berterusan untuk rakyat Selangor.

“Kerajaan Negeri juga berhasrat meningkatkan kecekapan perkhidmatan air yang lebih mesra rakyat dan responsif kepada pengguna di seluruh NSelangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga akan memuktamadkan pengambilalihan dua lagi syarikat konsesi iaitu ABASS dan SPLASH.

MB Azmin lawat tapak banjir di depan Stadium (9)Beliau berkata, pentadbirannya akan memastikan usaha itu memberi nilai terbaik kepada rakyat walaupun beberapa perkara utama seperti kos dan terma pengambilalihan empat syarikat konsesi sudah diputuskan sebelum ini.

“Ini termasuk memastikan pembinaan Projek Langat 2 baik dari segi kapasiti, kos kejuruteraan dan pembinaan dinilai secara objektif oleh wakil Kerajaan Negeri supaya tidak ada unsur pembaziran.

“Saya yakin dengan amalan keterbukaan dan ketelusan yang dititikberatkan pentadbiran baru, Kerajaan Negeri akan berjaya mencapai persetujuan dengan semua pihak terbabit untuk menyempurnakan penstrukturan air dalam tempoh terdekat,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.