Categories
SELANGOR

MB: RM10 juta Tabung Biasiswa Pelajaran UNISEL, RM12 juta bantuan sebelum dapat PTPTN

BESTARI JAYA 8 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengumumkan mulai 2015, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta setahun untuk Tabung Biasiswa Pelajaran khusus kepada pelajar UNISEL yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Dana Bantuan Sara Diri khas untuk mahasiswa UNISEL dengan peruntukan berjumlah RM12 juta sebagai bantuan sebelum mereka mendapat pembiayaan pendidikan seperti pinjaman PTPTN.

Unisel-GrafikKatanya, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor berjumlah RM 10 juta yang memberikan kemudahan pinjaman boleh ubah (convertible loans) kepada pelajar cemerlang di Selangor.

“Pengumuman ini menzahirkan komitmen kerajaan terhadap agenda pendidikan dan pembangunan modal insan di negeri Selangor.

“Dana yang diperuntukkan bagi tujuan pendidikan ini, bukan hanya merupakan pelaburan kerajaan demi masa depan, akan tetapi turut merupakan inisiatif permuafakatan bersama mahasiswa, para pensyarah, warga alumni dan masyarakat khususnya rakyat negeri Selangor,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian semasa Istiadat Konvokesyen Unisel kali ke-9 Tahun 2014 di Dewan Canselor, Kampus Unisel Bestari Jaya, hari ini.

Mohamed Azmin berkata Program Hadiah Anak Masuk Universiti di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sebelum ini akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM8 juta.

Ia khusus kepada pelajar Sarjana Muda dan Diploma daripada keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dengan setiap mereka akan menerima RM1,000 selepas mendaftarkan diri untuk tahun pertama di UNISEL.

“Kita berkeyakinan, UNISEL mampu melahirkan generasi muda yang mempunyai conscience , hati nurani yang mampu memberi nilai tambah dan impak positif, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Canselor Unisel, Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj, Pro Canselor, Dr Anuar Masduki serta Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.