Categories
SELANGOR

MB: Tanah rizab Melayu hingga Okt 2014 seluas 402,755.42 ekar

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 NOV : Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengenalpasti tanah dengan keluasan yang bersesuaian sebagai ganti ke atas tanah rizab Melayu di Selangor yang dibatalkan statusnya.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata sehingga Oktober 2014, keluasan rizab tanah Melayu di Selangor adalah seluas 402,755.42 ekar, manakala tanah rizab Melayu yang dibatalkan statusnya pula adalah sebanyak 11,077.87 ekar.

grafik-DNSBagaimanapun, katanya Kerajaan Negeri sudah membuat penggantian sebanyak 7,210.73 ekar dan sedang berusaha mengganti tanah yang selebihnya.

“Semua tanah rizab melayu yang dibatalkan di Selangor perlu dibuat penggantian selaras dengan perkara 89 fasal 3 perlembagaan persekutuan dan pekeliling PTGS bilangan 2 tahun 1994.

“Dalam tempoh dua bulan sahaja ketika mesyuarat MTES, saya telah teliti perkara ini supaya usaha ditingkatkan untuk disegerakan penggantian tanah-tanah rizab melayu yang telah dibatalkan statusnya bagi tujuan pembangunan.

“Dan sehingga hari ini, kita masih mempunyai kekurangan 3,867.14 ekar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) berhubung kedudukan rizab tanah Melayu semasa sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dalam pada itu, Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa), berkata pihaknya juga akan memastikan semua teguran Laporan Ketua Audit Negara pada 2013 berhubung perkara itu diberi perhatian serius.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menghadapi masalah di mana beberapa bidang tanah yang diserahkan kepada kerajaan pusat bagi tujuan pembangunan mengalami kelewatan dari segi penggantian.

“Kita telah berjaya ganti lebih 7,200 ekar tanah dan ia adalah usaha proaktif, tetapi saya akui ada kekurangan yang perlu diperkemas dan disegerakan penggantiannya,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.