Categories
SELANGOR

MBPJ pantau prestasi kerja 144 kontraktor sampah

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 21 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperketatkan pemantauan terhadap prestasi kerja 144 kontraktor bagi pengurusan sampah dan pembersihan awam di bandar raya itu untuk tempoh jangka masa pendek sehingga penghujung 2014 ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata tindakan itu dilakukan dengan memberi keutamaan pematuhan terhadap jadual kutipan sampah yang ditetapkan di semua premis di bandar raya itu.

MBPJ“Fokus juga terhadap tindakan pengawalan dan penguatkuasaan tempat pembungan sampah haram, pembersihan kawasan, longkang besar dan jalan protokol.

“Pada Oktober lalu, MBPJ meluluskan satu Dasar dan Panduan Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu,” katanya berucap dalam mesyuarat penuh MBPJ di sini hari ini.

Alinah berkata, garis panduan itu mengambil kira keperluan pencegahan penjanaan sampah di peringkat perancangan, pembinaan, kependudukan, perlesenan dan operasi serta pengurusan sisa yang efisyen.

Beliau berkata, Dato’ Menteri Besar telah memberikan cabaran besar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyelesaikan isu kutipan sampah sama ada sampah domestik, sisa pepejal dan sampah pukal di kawasan PBT masing-masing sehingga penghujung tahun ini.

Katanya, ia termasuk penyelenggaraan jalan rosak bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya dan MBPJ menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk kerja menampal jalan berlubang.

“MBPJ mewujudkan enam peronda jalan raya (Road Gang) di bawah Jabatan Kejuruteraan yang memantau dan mengambil tindakan pembaikan menurap atau menampal semua kerosakan jalan di Petaling Jaya, ia dilaksanakan setiap hari mengikut zon.

“Pasukan petugas dikehendaki melaporkan tindakan pembaikan diambil dan kerja mesti dilaksanakan dengan kualiti baik,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, MBPJ memberi peringatan kepada semua syarikat utiliti terbabit dengan pengorekan jalan, penurapan semula jalan yang dikorek perlu dilakukan dan diselesaikan dengan kualiti kerja yang baik.

“MBPJ tidak akan berkompromi lagi dengan kualiti kerja yang rendah,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.