Categories
SELANGOR

MDKL: Program Jom Cukai 15 Nov beri info percukaian

BANTING 8 NOV: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Penduduk Zon 12 dan 22 akan menganjurkan Program Jom Cukai pada 15 November bertempat di Dataran The Store Banting bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Yang DiPertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat setempat khususnya pembayar cukai mengenai kepentingan cukai di samping memudahkan mereka berkongsi masalah berkaitan hal-hal percukaian.

MDKLProgram ini menyasarkan penyampaian maklumat, khidmat nasihat berkaitan hal-hal percukaian, taklimat kepada individu dan majikan, penerangan mengenai pindaan berkaitan hal percukaian serta program ini juga menyediakan ruang kepada pembayar cukai untuk menyemak status terkini kedudukan cukai mereka.

Mohd Azhar berkata, di antara agensi terlibat adalah seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri yang akan berperanan memberikan taklimat berkaitan pendidikan cukai iaitu `Cukai Pendapatan dan Anda’ serta klinik cukai berkaitan e-Perkhidmatan (eZHASIL).

Manakala bagi Jabatan Kastam DiRaja Malaysia pula akan memberikan taklimat mengenai pengenalan serta pendaftaran GST, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional akan menyediakan perkhidmatan simpanan SSPN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menyediakan perkhidmatan semakan baki akaun dan penamaan waris dan Majlis Daerah Kuala Langat sendiri akan menyediakan perkhidmatan semakan serta bayaran cukai taksiran dan kompaun parking.

Menurutnya lagi, orang ramai perlu menggunakan peluang yang ada ini sebaik mungkin memandangkan kesemua agensi yang terlibat ini akan berada di satu kawasan yang sama dalam satu masa serta secara tidak langsung kesemua agensi ini juga akan mendekatkan diri kepada golongan pembayar cukai.

Beliau amat berharap agar semua penduduk di daerah ini dapat meluangkan masa menghadiri serta mendapatkan informasi-informasi terkini daripada agensi yang terlibat.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.