Categories
SELANGOR

MPSJ terima Anugerah Emas International Green Apple Awards

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 NOV: Usaha Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan inisiatif ke arah bandar hijau ternyata berbaloi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Korporatnya, MPSJ berjaya menerima Anugerah Emas di International Green Apple Awards For Environmental Best Practice 2014 melalui projek My Biomass Way.

mpsj“Usaha gigih MPSJ membentuk Pelan Tindakan Bandar Hijau MPSJ 2030 dengan matlamat menjadi sebuah perbandaran yang mesra alam, teratur dan selesa serta menjadi bandar paling hijau di Malaysia, di samping inisiatif hijau diperkenalkan ternyata tidak sia-sia.

“MPSJ menyertai International Green Apple Awards (IGAA) untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran MPSJ di samping memperkasakan ilmu ke arah perbandaran bertaraf antarabangsa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Majlis penganugerahan yang diadakan di The House of Parliament, London, United Kingdom pada 10 November lepas dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid.

‘Green Apple Award 2014’ merupakan anjuran The Green Organisation di United Kingdom bertujuan menggalakkan dan mengiktiraf amalan menjaga alam sekitar sesebuah pertubuhan, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan kerajaan dari seluruh dunia.

Selain MPSJ, pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menerima kategori ‘Best Environment Practice’ di anugerah berprestij itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.